Kerajaan Guna Alasan Rasis Untuk Tolak Pilihan Raya PBT

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR 2 Apr - Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail menyelar kenyataan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin yang menolak pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di peringkat negeri atas alasan perkauman.

Saifuddin berkata, alasan Lajim bahawa sekiranya pilihan raya itu diadakan ia akan memberi kesan kepada keseimbangan kaum adalah bersifat rasis malah bercanggah dengan konsep 1Malaysia yang di bawa Perdana Menteri.

"Saya menolak sama sekali pandangan yang diberikan timbalan menteri mengaitkan pilihan raya kerajaan tempatan dengan kesan kepada kesimbangan kaum, Ini adalah satu pandangan yang lahir daripada sudut pemikiran yang berasaskan perkauman," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Menurut beliau lagi kerajaan menafikan bahawa pelaksanaan pilihan raya kerjaan tempatan merupakan satu proses pemerkasaan kepada rakyat untuk memilih ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

"Dia tidak melihat pilihan raya itu sebagai proses 'empowerment' atau memberi kuasa kepada rakyat. Sebagai rakyat pembayar cukai mereka layak dan berhak memilih kerajaan tempatan sesuai dengan susur galur politik dan sistem demokrasi di negara kita yang mempunyai kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan pusat.

"Pandangan itu datang dari sudut pemikiran yang sangat sempit melihat dari kaca mata perkauman semata-mata tetapi tidak melihat rakyat sebagai teman dan rakan yang perlu dilibatkan dalam proses pembangunan sebuah negeri dan negara,"tambah Setiausaha Agung KEADILAN itu.

Sementara itu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata kenyataan menteri terbabit menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa kerajaan keliru dengan setiap dasarnya yang sering bercanggah dengan perlaksanaan.

"Saya rasa kerajaan BN perlu lebih jelas dengan pendiran mereka, sekejap kata negara maju, sekejap 1Malaysia, sekejap tidak rasis.

"Kita perlu sedar tahap kita dah melampaui dan merentas garisan bangsa dan gender serta patut berdasarkan merit dan kebolehan seseorang itu membuat perkhidmatan kepada rakyat.Kerajaan sekarang dalam keadaan yang keliru," kata Zuraida.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.