Kerajaan Umno-BN Biar Kes Pengakuan Bala Tergantung

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 12 Apr - Ahli Parlimen Batu Tian Chua membidas kerajaan kerana bersikap pasif dan tidak berminat untuk menyelesaikan siasatan berhubung pengakuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramaniam berkaitan pembunuhan model warga Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pagi tadi mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menyoal ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan adik Perdana Menteri, Datuk Nazim Razak semasa menjawab soalan daripada Tian mengenai status siasatan berhubung dakwaan Balasubramaniam.

"Saya rasa hairan kenapa kerajaan tidak mengambil tindakan yang pro-aktif kerana apa yang berlaku mempunyai implikasi terhadap pemimpin tertinggi, kalau betul Bala telah berbohong dan memberikan keterangan palsu ini adalah satu jenayah.

"Kenapa kerajaan dalam menjawab soalan yang saya kemukakan berkata mereka tidak akan mengambil tindakan susulan terhadap Bala, mereka hanya akan secara pasif menunggu Bala untuk 'contact' semula kerajaan atau SPRM," ujar Tian dalam sidang media di lobi parlimen.

Dalam pada itu Tian berkata beliau hanya boleh membuat kesimpulan bahawa kerajaan tidak ada niat untuk menyelesaikan kes Bala tanpa tindakan susulan untuk mendapatkan kebenaran kes tersebut dan membiarkan kes itu tergantung.

Pada sidang media 3 Julai 2008, Bala mengedar satu akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan Altantuya, tetapi keesokannya menarik balik akuan bersumpah itu dan mengemukakan satu akuan bersumpah lain.

Dia kemudian menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarga.

Bala juga mendakwa adik Perdana Menteri, Nazim memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya dan bersedia disiasat SPRM dengan syarat ia diadakan di luar negara.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.