Lafaz cerai Sultan Kelantan: Bantahan awal Elia Suhana diputus 23 Mei

KOTA BAHARU, 4 April — Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 23 Mei untuk memutuskan sama ada menerima atau menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh isteri kedua Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, bagi membatalkan lafaz cerai yang dibuat oleh baginda terhadapnya.

Hakim Syarie Abdullah Man ketika menetapkan tarikh itu memerintahkan pihak plaintif dan defendan dalam kes itu supaya mengemukakan afidavit bertulis kepada mahkamah pada atau sebelum 10 Mei.

Pada 21 Mac lepas, peguam yang mewakili Elia Suhana, 31, Fakhrul Azman Abu Hassan memfailkan permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap Elia Suhana yang difailkan seorang wanita Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, sebelum ini.

Sultan Kelantan didakwa telah menjatuhkan talak itu pada 12 Feb lepas.

Terdahulu Fakhrul Azam memakumkan mahkamah bahawa Elia Suhana bagaimanapun menarik balik permohonan interlokutori yang meminta satu pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadap Sultan Kelantan kerana permohonan itu sudah tidak relevan berikutan langkah kerajaan negeri Kelantan melantik panel doktor bagi merawat baginda.

Sementara itu, berhubung permohonan Elia Suhana bagi mendapatkan hak lawatan kekal bagi melawat suaminya itu yang turut didengar di mahkamah yang sama, Hakim Syarie Mohamed Yusoff Awang menangguhkan kes itu ke 13 Jun.

Ketika membuat keputusan itu, Mohamed Yusoff berkata permohonan itu akan didengar selepas kes bantahan awal pengesahan lafaz cerai itu diputuskan.

“Mahkamah membuat keputusan menangguhkan sementara prosiding ini sehingga kes bantahan awal pengesahan lafaz cerai itu diputuskan,” katanya.

Terdahulu, peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawalnya Muhammad Shahrizan Zainal dan Zaiton Husin Merican yang dinamakan sebagai defendan dalam kes itu, berkata adalah lebih baik perkara itu dibicarakan sebaik selesai isu bantahan awal pengesahan lafaz cerai itu diputuskan.

Pada prosiding hari ini, Elia Suhana dan Nik Rorhana hadir manakala tiga defendan berkenaan tidak hadir. — Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.