Perkasa, Umno dan cabaran ekonomi terhadap negara

Oleh Abu Firdaus

Masanya sesuai bagi pendokong-pendokong Pas mengadakan siri pelbagai seminar dan perbincangan di seluruh negara mengenai ekonomi negara. Bukan saja mengenai Model Ekonomi Baru tetapi juga kedudukan keseluruhan ekonomi Malaysia.

Ini penting kerana ahli-ahli dan penyokong Pas mesti diberi kefahaman terhadap keadaan ekonomi negara dan cabaran yang dihadapi. Bayangkan apabila rakyat tidak puas hati dengan Umno dan Barisan Nasional, terutamanya di kalangan orang Melayu, mereka akan mengundi Pas. Dalam keadaan ini parti ini tidak dapat lari daripada tanggungjawab menghadapi cabaran ekonomi apabila menghadao isu-isu ekonomi.


Dalam hal ini tentunya Pas juga sentiasa berbincang dan saling faham-memahami mengenai ekonomi dengan parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat serta sekutunya. Apabila disebut sekutu, perbincangan juga perlu dibuat dengan parti-parti yang turut mendokong Pakatan Rakyat selain daripada komponennya iaitu Pas, Keadilan dan DAP. Sekutunya yang lain adalah seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP).

Maka apabila dipincangkan mengenai ekonomi, tentulah soal politik amat berkaitan. Akan dapat difahami bahawa kemunculan Perkasa, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menampilkan diri sebagai memperjuangkan hak orang Melayu adalah bertkaitan dengan ekonomi.

Buat masa ini, Perkasa adalah Umno kedua. Ia disokong dan dibantu oleh Umno sendiri. Pemimpin-pemimpin Umno mempunyai strategi dalam hal ini tetapi kalau menurut perhatian ternyata Perkasa dapat membantu banyak perkara untuk Umno, bukan saja soal politik tetapi juga Umno. Bagaimanapun, tentulah para pendokong Umno bimbang bahawa Perkasa mungkin mampu muncul sebagai pertubuhan kuat yang boleh mencabar Umno sendiri.

Tetapi apabila kerajaan Malaysia mengutarakan gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, pencapaian Diutamakan, adalah jelas bahawa Umno sedang menuju dari kanan ke tengah. Maksudnya di sini ialah Umno hendak mengurangkan soal-soal Melayu bagi mendapatkan undi bukan Melayu. Baginya dominasi undi bukan Melayu yang diperoleh Pakatan Rakyat mesti dicabar dan dipecahkan.

Tentulah dengan cara politik sebegini akan menimbulkan kemarahan orang Melayu yang menyokong Umno. Maka dalam keadaan inilah peranan Perkasa adalah penting. Pada mulanya apa yang hendak dilakukan oleh Umno ialah menggalakkan penubuhan NGO Melayu di samping mencergaskan badan yang sedia ada. NGO Melayu ini akan berperanan menampung suara-suara Melayu yang tidak puas hati dengan pendekatan baru Umno yang menuju ke tengah itu.

Tetapi dalam banyak-banyak NGO itu rupanya Perkasa yang muncul paling popular, maka merekalah yang akan membantu Umno dari segi strategi ini. Justeru semua suara kanan orang Melayu diselurkan melalui Perkasa. Ia menjadi pihak pendesak dan pengimbang. Maka suara orang Melayu yang tidak puas hati terhadap Umno dapat dialurkan kepada Perkasa dan bukannya Pas.

Tetapi dalam pilihan raya kelak, suara-suara pendokong Perkasa ini akn tentunya mengundi Umno dan Basrisan Nasional. Jadi dengan memperoleh suara bukan Melayu melalui pendekatan Satu Malaysia dan menghalang undi Melayu pergi ke Pakatan Rakyat. Mengapa Umno sanggup mengambil jalan ke tengah, iaitu isu-isu bukan Melayu. Menurut pemerhatian, ada dua sebab.

Pertama, tentunya politik, untuk ambil undi bukan Melayu. Dalam hal ini, Umno sudah tak boleh harapkan MCA dan MIC, maka oleh itu ia terpaksa melakukannya sendiri. Kedua, soal ekonomi. Perkara ini pahit untuk diterima oleh orang Melayu. Tetapi tengok gaya banyak di pihak Pakatan Rakyat khususnya dari kalangan Melayu termasuk pendokong Pas faham keadaan ini. Dapat diteliti daripada banyak perbincangan mengenai ekonomi negara bahawa cara Malaysia melaksanakan ekonominya perlu diubah.

Cara lama dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digunakan untuk meletakkan orang Melayu pada landasan untuk meningkatkan ekonominya tidak dapat lagi diteruskan. Selain daripada masalah ketirisan, korupsi,nepotisme dan pelbagai lagi isu , cara DEB dan penggantinya tidak dapat diteruskan kerana perubahan ekonomi dunia.

Banyak pihak dalam Pakatan Rakyat faham tentang perkara ini. Bagi DAP perkara ini jelas dan selari dengan fahaman perjuangannya. Cuma bagi orang melayu dalam Keadilan dan PAS, isu ekonomi Melayu merupakan cabaran yang sukar untuk ditangani. Tetapi perubahan ekonomi dunia memaksa orang Melayu mengubah cara dan harapan mereka. Apa yang berlaku sepanjang DEB dan tindakan afirmatif perlu pengubahsuaian yang besar.

Akhirnya lebih kurang dasar ekonomi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat ini akan lebih kurang jadinya atas tuntutan ekonomi dunia. Satu Malaysia dan Middle Malaysia tidak banyak jauh bezanya. Namun begitu, ada dua perkara yang menjadikan apa yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional berbeza.

Pertama, dari segi pelaksanaan. Kedua, dari segi kefahaman. Kalau menurut spektrum politik yang sudah diterima umum, Barisan Nasional terletak di kanan sementara Pakatan Rakyat berada di kiri. Tetapi kedua-duanya sedar bahawa untuk berjaya kedua-dua belah pihak mesti berada di tengah. Maka berlumba-lumbalah kedua-duanya ke tengah.

Tetapi bagi Barisan Nasional yang selama ini memegang kuasa begitu lama, ia tetap mahu mempertahankan status quo sistem satu parti. Tetapi bagi Pakatan Rakyat, apa yang terbaik bagi negara ini ialah sistem dua parti supaya imbangan politik dapat berlaku. Ia merupakan sistem paling stabil buat masa ini. Tetapi untuk itu, Umno perlu disedarkan supaya menerima keadaan baru itu. Sebenarnya apa yang wajar dilakukan oleh orang Melayu ialah persediaan menerima bentuk politik dan ekonomi yang baru lebih mencabar tetapi akan mendatangkan kesan lebih baik kepada bangsa, lebih bermaruah, optimis dan positif.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.