PKR bersedia dengan andai pilihan raya Sarawak seawal Jun

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 4 April — Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membincangkan secara mendalam persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak dengan andaian kemungkinan diadakan “seawal Jun” ini.

“Oleh kerana pilihan raya Sarawak kemungkinan diadakan seawal Jun, perbincangan hari ini diadakan dengan lebih intensif,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di sini.

Sehubungan itu kata Ahli Parlimen Kuantan ini, jika pilihan raya diadakan selepas bulan Jun pihaknya akan melihat ia sebagai “satu bonus” untuk membuat persiapan yang lebih mendalam.

Tempoh mandat Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir Julai 2011.

Bagaimanapun desas-desus menyebut pilihan raya negeri akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Difahamkan pilihan raya negeri kemungkinan diadakan tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai persiapan, Fuziah berkata kepimpinan PKR Sarawak juga telah diberikan mandat untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai calon-calon yang berpotensi.

“Akan ada jawatankuasa khas, ia akan dibentuk... kepimpinan (PKR) Sarawak telah diberikan mandat untuk menubuhkan jawatankuasa,” katanya.

Kata beliau, mandat itu diberikan hari ini.

Fuziah menjelaskan soal persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak juga telah dibincangkan dalam mesyuarat MPP bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, ia telah dibincangkan lagi hari ini dengan andaian ia akan diadakan “seawal Jun”.

Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan PAS meletakkan sasaran untuk menawan Sarawak susulan tsunami politik dua tahun lalu.
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.