Samy Vellu Panas Punggung! Muhyiddin Nak Calon Lain!

Samy Vellu Tidak Terganggu Mengenai Spekulasi Calon

HULU SELANGOR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini berkata, beliau tidak terganggu dengan spekulasi bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan memilih calon yang dicadangkannya bagi mewakili parti itu pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Beliau juga tidak tergugat dengan desas-desus bahawa pakatan pembangkang akan meletakkan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding di situ.

"Saya tidak bimbang dengan apa orang kata. Kebimbangan saya hanya untuk memastikan BN menang," katanya ketika ditemui di pejabat MIC Hulu Selangor di sini.

Ahli politik veteran itu berkata, beliau telah bertungkus lumus di kawasan tersebut sejak dua minggu lepas untuk mengenal pasti masalah dan mengambil langkah perlu bagi menyelesaikan perkara berbangkit dengan kerjasama semua pihak.

Apabila ditanya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yassin semalam bahawa BN akan meletakkan calon anak tempatan pada pilihan raya kecil yang akan berlangsung 25 April ini, Samy Vellu berkata semua orang adalah anak tempatan.

"Ianya tak membawa sebarang makna kepada saya...semua adalah anak tempatan. Saya telah memainkan peranan penting dengan melakukan kerja di sini lebih awal daripada orang lain," kata Samy Vellu yang telah mencadangkan Timbalannya, Datuk G. Palanivel.

Kenyataan Muhyiddin semalam telah menimbulkan spekulasi bahawa Naib Ketua Pemuda MIC dan anak kelahiran Estet Kerling, V. Mugilan adalah calon pilihan sekalipun dua nama lain iaitu Ketua Penerangan parti P. Kamalanathan dan Timbalan Ketua Bahagian itu K. Balasundram turut disebut-sebut.

Palanivel pernah menyandang kerusi Parlimen itu selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 198 undi.

Kerusi itu kosong selepas Zainal Abidin meninggal dunia akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Mengulas mengenai kemungkinan Zaid sebagai calon PKR, beliau berkata, ianya tidak membawa sebarang perbezaan kerana kawasan itu yang mempunyai kira-kira 65,000 pengundi berdaftar memerlukan wakil yang boleh berkhidmat kepada rakyat.

"Kita bukan berlawan dengan orang...kita berlawan dengan parti. Beliau (Zaid) adalah seoarng yang baik, tapi reputasi adalah perkara berbeza dengan kebolehan berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Samy Vellu berkata, calon daripada parti kerajaan yang mentadbir adalah lebih baik bagi berkhidmat kepada rakyat di situ, dan kemenangan kepada BN sudah pasti akan mengubah keadaan fizikal kawasan tersebut.

"Mereka (PKR) sudah diberi dua tahun tetapi tidak ada apa yang berubah. Masyarakat di sini boleh lihat sendiri...mereka perlukan kerajaan yang ambil berat, perlukan pemimpin yang boleh merancang masa depan mereka, dan ini hanya boleh dilakukan oleh BN," katanya. - BERNAMA


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.