Setahun Prestasi PM Najib – “Ingin Menyantuni Semua?”

Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat.

Setelah berhempas pulas memujuk bosnya untuk berundur, akhirnya Najib berjaya. Kegagalan Umno/BN dalam PRU ke-12 banyak membantu menekan Presidennya untuk melepaskan jawatan. Tarikh 3 April esok genap setahun Najib dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke enam Malaysia. Abjad keramat RAHMAN menyebelahinya.

Malangnya RAHMAN juga mengingatkan hati kecilnya bahawa beliau adalah Perdana Menteri terakhir kerajaan Umno/BN. Bezanya hanyalah samada seperti 23 tahun Mahathir ke atau hanya satu penggal seperti Pak Lah. Ini yang menjadi igauan yang menghantui jiwanya dan kerap menerjah pemikirannya.

Pun begitu yang jelasnya, laluan tahun pertamanya tidak mudah. Calang-calang orang tak boleh survive. Memanglah bagai dek kata. Hanya pemimpin yang memilikki ‘the extra-mile’ atau nafas panjang. Penulis sedia menerima bahawa Najib ada benda itu. Kalau tak banyak, sedikit.

Sewajarnya Najib lebih bersedia, sebab dia memang sangat berhajat untuk menjadi orang nombor satu negara. Isterinya lebih-lebih lagi. Dalam suasana negara yang terus-terusan berdepan dengan kebejatan dan krisis yang hampir sempurna dalam segala seginya, Najib semacam dilihat tidaklah berapa siapsiaga. Penulis akan huraikan.

Penulis terdahulu ini telah berbaik sangka dengan Najib untuk membuktikan kehebatannya. Betul. Sebabnya Najib telah menjadi PM, mahu atau kurang mahu diterima umum, segalanya berpusat dengan dirinya. Dalam mengemudi negara, dia wajar ‘in control’ atas semua perkara. Dia tidak punya lagi ‘boss’ kecuali ada yang kata YABhg itulah. Tapi itu lebih gurauan.

Najib bertuah kerana tidak seperti Pak Lah yang kerap dikritik dan dicemuh oleh bos lamanya, Tun. Najib pula hanya perlu mengatasi dirinya untuk terus mengungguli segalanya.

Nah kini setelah genap 365 hari berlalu, Najib terpaksa membuka buku rekodnya untuk dinilai dan dibaca oleh semua. Kita perlu jujur seperti juga kita perlu adil dalam melakukan penilaian ini.

Penulis ini kerapnya adil dalam urusan-urusannya kerana menegakkan Keadilan adalah kemuncak perjuangannya. Tapi lebih sukar lagi ialah untuk beliau jujur merakamkan kesemua ini. Beliau sedar bahawa dirinya juga dinilai ketika dia menilai orang lain.

Namun tuntutan keadilan dan kejujuran berkehendakkan bahawa penulis memberikan ‘takdir’ atau pemarkahan prestasi Najib secara tegas dan tuntas. Tidak mudah kerana sifat penilaian itu ‘subjektif’ dan tergantung kepada persepsi dan tergantung kepada piawaian atau standard yang digunakan.

Tegasnya sebagai kesimpulan, dalam bahasa yang mudah, penulis ‘tidak begitu kagum’ dengan pencapaian Perdana Menteri ke-6 ini, setelah 365 memerhatikan beliau bertindak selaku CEO kerajaan Umno/BN ini. Tegasnya, tidak banyak yang Najib berjaya lakukan

Berikut adalah penghujahan penulis. Sekali lagi huraian penulis juga selektif kerana dikekang ruang dan masa.

Slogan 1-Malaysia – Cogankata ‘Analog’ Yang Sukar Umno/BN Tunaikan.

Penulis terpaksa menyebutkan bahawa slogan dan mantra yang dipilih Najib amat mengecewakan. Sebetul yang hendak disebut penulis ialah ia terlalu terkebelakang dan ‘lama’. Bahasa canggihnya ‘tidak progresif’ sangat bahkan ‘retrogresif’ atau ‘terkebelakang’. Macam kalau orang memandu, acap guna ‘cermin belakang’ atau ‘hind-mirror’. Atau lebih tepat lagi pemandu yang guna ‘reverse gear’. Tapi umum tahu, untuk memacu ke depan mesti tukar gear.

Cogankatanya agak ‘analog’ sifatnya dalam dunia ‘digital’ kini. Begitu. Mungkin ia persis slogan Bapak Kemerdekaan atau lebih sesuai untuk era dan zaman ayahandanya Al-MarhumTun Razak.

Apakah penulis tolak sebab kaitannya dengan 1-Israel atau APCO Worldwide? Mungkin penulis tidak boleh menyinggung perkara ini kerana akan mengabui pemikiran yang bersifat rasional. Ini bukannya forum untuk merungkaikan masalah APCO dengan Zionis-Israel itu. Makalah ini tidak menjadikan premis dan hujah penolakan 1-Malaysia itu begitu dalam wacana ini, meskipun banyak yang beliau mahu kisahkan.

Dalam konteks naratif makalah ini, hanya ukuran keunggulan dan keunikan daya-cipta itu sahaja yang dinilai. Hanya sisi intelek secara ‘intrinsik’ atau ‘hakiki’ sahaja yang diambil kira khususnya sejauh mana ia mempamerkan keupayaan menerobos senario cabaran dan persaingan masa depan. Dinilai dari sisi itu, slogan 1-Malaysia tidak menyerlah.

Penulis membaca penerbitan “Program Transformasi Kerajaan” dalam bab ‘1-Malaysia’ di muka surat 66-99. Selesai membaca maka mengertilah penulis akan ‘backdrop’ kepada slogan ini dicipta dan tujuan yang mencipta. Siapa mencipta satu hal lain.

Perbincangan tentang model-model perpaduan dan integrasi kaum dihuraikan. Ianya benar-benar membawa pembaca membandingkan pendekatan Assimilisai (seperti Indononesia dan Thailand) dan Pemisahan (tak pulak diberi contoh). Cukup nostalgia maudu’ atau topik ini, mengingatkan latihan modul BTN atau silibus Tingkatan 6 untuk STPM mungkin.

Tetapi mengapa ‘Satu’ dan ‘Kesatuan’ atau ‘Perpaduan’ menjadi dominan dalam pemikiran pimpinan Umno/BN kini? Tidak sukar memahami perkara itu. Pemimpin tentunya mahukan negara bersatu dan berpadu, kerana ia juga membayang ‘legitimasi’ dan keteguhan kepimpinannya sekaligus. Terkadangkali sehingga ada unsur melampau, sehingga pemimpin Umno sendiri canggah. Timbalan PM menjadi contoh yang baik atau lebih tepat lagi buruk dalam hal ini. Dirinya adalah Melayu dahulu, sebelum bangsa Malaysia dakwanya. Ini bercanggah dengan penulisan 1-Malaysia Najib. Akhirnya Najib kata tak ada apa salah pendirian TPM. ‘Begitu pulak’, cemuh rakyat.

Apakah Najib khuatir untuk menerima hakikat bahwa sokongan rakyat memang terbelah dua selepas PRU ke-12 lalu? Selepas 8 Mac 2008, bukannya perpaduan dan penyatuan dangkal atau ‘superficial’ yang diperlukan lagi oleh rakyat dan negara ini.

Najib wajar memahami hakikat tersebut. Realitinya sudah begitu dan inilah landskap yang akan terus kekal. Tidak ada cacat-celanya begitu. Bersatu dan berpadu dengan erti hanya Umno/BN yang berkuasa sampai kiamat sudah tidak lagi releven dan menasabah. Mungkin dulu boleh.

Tuntutan Politik Baru – Penjana Perubahan yang Tidak Di Kenali Najib.

Najib wajar sedar kewujudan landskap dan Politik Baru. Politik baru tidak lagi bercakap tentang perpaduan untuk mengekalkan yang lama dan usang. ’Pemikiran Pencerahan’ menuntut supaya orde lama berteraskan Politik Usang Perkauman diroboh bagi memberi laluan kepada menjayakan Impian Malaysia Baru. Itu sepatutnya pemikiran seorang Perdana Menteri yang serentak kontemporari dan futuristik sifatnya.

Yang sepatutnya dipacu oleh Najib ialah penjanaan sebuah ekonomi yang mapan-’vibrant’ dan demokrasi yang ’functional’ atau berfungsi kukuh bagi memperteguhkan segala institusi-institusi kritikal negara. Seluruhnya. Dengan itu maka sistem ’semak dan imbang’ akan melancarkan pengurusan pentadbiran baik atau menginstitusikan amalan’Good Governance’. Itulah pemikiran negarawan dalam konteks alaf ini yang bakal menjana kelahiran takongan pemimpin generasi penerus dan persaingan sihat yang menyerlahkan keunggulan kelompok atau koalisi masing-masing.

Bukan melaungkan slogan 1- Malaysia untuk kononnya ’keterangkuman’ atau ’inclusivity’ tetapi berdepan segala kereputan institusi-institusi termasuk kemunduran hati-budi rakyat yang dibelenggu sehingga melahirkan spesie dinasour seperti Perkasa yang terus disokong oleh pemimpin veteran seperti Tun Mahthir dan generasi muda Umno seperti Muhkriz dan Awang Adek. Cukup Mengaibkan.

Justeru kerana tidak benar-benar memahami konteks persaingan baru dalam politik baru ini, Najib sebelum dari jadi PM lagi melancarkan rampasan kuasa. Betul ini bukan semasa beliau PM. Tarikh 5 Februari akan menjadi titik hitam dalam sejarah rampasan kuasa di negeri Perak, seperti pernah berlaku di Kelantan, Terenganu dan Sabah dalam dekad-dekad lalu. Kini maruah kerajaan BN negeri Perak berdiri di atas 3 peribadi yang cukup dipertikaikan rakyat di segi dakwaan rasuah, seks dan politik jual-beli.

Najib meneruskan usaha buruknya dan mengaleh serangannya ke negeri Selangor dan juga Pulau Pinang ketika menjadi PM. ’Obsession’ atau pemkirannya sarat dan sibik dengan hal ini. Tidak memahami realiti tuntutan ’gologan pencerahan dan pertengahan’ yang bersifat ’middle-ground’, Najib membinasakan segala ’baiksangka’ atau ’goodwill’ golongan ini pada dirinya. Sambil melaungkan 1-Malaysia, sambil merobek kestabilan negara dan memburukkan persepsi dunia luar dan masyarakat pelabur kepada Malaysia selaku destinasi pelaburan yang kurang menarik. Sebuah badan perunding ”Political and Economic Risk Consultancy” (PERC) yang berpusat di Hong Kong, mengkategorikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak stabil, lantas kurang menarik untuk pelaburan.

Najib tidak mengendahkan realiti ini, maka dalam mendepani segala kebrentakan dan pergolakan politik mutakhir ini, Najib silap membuat pelbagai pendirian. Kini rakyat yang celik maklumat dan menglami pencerahan akibat Media Baru yang memerdekakan jiwa dan minda baru, dapat membezakan pendirian pendirian tersebut.

Umno disaksikan dan ditanggapi ’ekstreme’ dan punya pemikiran sempit sementara PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan pulak yang ’moderate’ atau dalam bahasa Yusuf Qardhawi mengambil pendekatan pertengahan atau ”Uslub Wasathiyyah”. Cocok dengan Maqasid (Tujuan) Syariat dan cocok juga dengan tuntutan Realiti atau Waqi’ terkini. YB Rembau juga pernah membuat ulasan seperti ini dalam isu ’Allah’. Dunia terus berubah. Ada yang ke arah lebih baik dan ada juga juga bertambah buruk.

Begitulah pada sifat dan gelagatnya Umno dalam pelbagai isu kontroversi menajamkan lagi garis keretakan antara agama, kaum dan budaya. Isu kepala lembu, kepala babi-hutan, isu arak dan isu nama Allah dan berakhir dengan serangan ke atas rumah-rumah ibadat.

Umum masih ingat bagaimana Najib mengizinkan demonstrasi di perkarangan masjid-masjid tentang isu ini sekaligus meniup api pertentangan. Cukup tidak bijak dan tidak memahami untuk membudayakan Politik Saling-Menghormati atau ’Politik Li Ta’arafu’. Hanya tahu berslogan dan bertempek 1- Malaysia tidak mendatangkan apa-apa. Telah saya katakan Najib dan Umno mengulangi kesilapan lama.

Najib juga terkadangkali memang macam terkena ’badi’. Pada setiap perkara yang baru sahaja hendak memberikan beliau ‘advantage’ atau kelebihan, ada-ada sahaja yang memintas. Seperti kes pembunuhan Teoh Bang Hock semacam disusun takdir Ilahi atau ‘Divine Intervention’ bagi menebus segala dosa-dosa lampaunya. Banyak lagi termasuk hilang enjin jet pejuang, kapal selam tak boleh menyelam, bangunan runtuh dan paling mutakhir hubungan perunding awamnya, APCO dengan regim Yahudi-Zionis Israel.

Najib juga diperingatkan bahawa dalam setahun kepimpinan beliau, BN terus kalah dalam dua lagi pilihanraya kecil di Permatang Pasir dan Manik Urai. Beliau boleh menarik nafas lega di Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Memang yang menang ialah Isa Samad di situ.

Mengurus Negara Yang Gagal.

Jelasnya Najib berdepan dengan kenyataan kereputan segala institusi penting dalam negara. Sistem Judisiari, SPRM, SPR, MCMC atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multi-Media, Suhakam dan juga Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (SPK). Kesemua ditanggapi rakyat dengan pandangan yang tidak bebas, tidak telus dan tidak punya kewibawaan. Integriti tercalar dan tidak dibaikki Najib selepas setahun. Prestasi Najib tidak menyerlah langsung dalam hal ini.

Selepas setahun kesemua institusi kritikal ini masih pada takok lama, kalau tidak pun menjadi lebih buruk dari sebelumnya. Najib gagal menyuntik kesegaran dan nafas baru yang sangat dihajati untuk membawa negara ke mercu prestasi yang lebih hebat. Kini Najib hanya mampu salahkan dirinya sendiri. Beliau mungkin tahu apa yang perlu diperbaikki, namun apakah beliau berdepan dengan gejala yang sama yang menggagalkan Pak Lah. Beliau juga mungkin takut bahkan ngeri memikirkan hakikat tersebut.

Program liberalisasi perkhidmatan awamnya dan kini istilah ‘polisi afirmatif’ yang bersifat ’inklusif’ atau semacam dah sama seperti Pakatan yakni merentasi kaum cuba beliau ungkapkan. Tetapi ternyata ia tidak menggigit. Apakah sebabnya? Bingung juga Najib memikirkannya. Najib wajar faham segala-galanya terletak pada ideologi yang menjadi teras parti Melayu terbesar di dunia itu.

Sebutlah ‘inklusif’ atau ‘keterangkuman’ pun tetapi selagi paradigma pemikiran kuno ‘Melayu-Centric” dan ‘Ketuanan Melayu’ yang menjadi paksi dan sebati dengan Umno, maka apa pun yang Najib cuba bawa, akhirnya tak kemana nampaknya.

Kini, Tun pulak kata bahawa Umno gagal memperjuangkan hak Melayu. Semacam dah jatuh ditimpa tangga. Sebutan bagi meniru laungan PAS, seperti ‘Umno Untuk Semua’, sangat pelik dan canggung. Umno kaget dan tercari-cari sentuhan ajaibnya. Ini nasib Najib.

Selepas setahun genap Najib tampaknya semacam cuba untuk menjadi, dengan zin, “trying to be all things to all people”, atau untuk menyantuni semua akan berakhir dengan Najib dimarahi semua atau ‘satisfying no one’.

Model Ekonomi Baru (MEB) – Tidak Semudah yang Di Cakap.

Inilah modal politik Najib terkini dan takut-takutnya juga terakhir, andainya beliau gagal, menjana rangsangan pemulihan ekonomi baru. Kini kedengaran pula suara bantahan dari dalam barisan Umno sendiri terhadap Model Ekonomi Baru.

Setelah menekuni huraian beliau tentang model ekonomi barunya itu, penulis bersedia menerima bahawa Najib ternyata telah banyak mendengar dan juga membaca dari kritikan pelbagai pihak termasuklah pihak pembangkang atau Pakatan.

Analisis masalahnya tepat dan cadangan-cadangan rawatannya juga mantap dengan pelbagai cadangan pihak Pakatan dan tokoh tokoh ekonomi dunia mahupun tempatan dirangkumi tanpa segan silu. Tak apalah untuk kebaikan negara dan rakyat.

Cuma prestasi Najib tidak teguh bahkan tidak konsisten dan banyak berbolak-balik atau ‘flip-flop’. Ini jelas dalam hal menangani cadangan cukai GST, subsidi petrol, tariff elektrik dan cukai RPGT. Kesemua pendirian ‘bolak-balik’ membuktikan Najib tidak kukuh dan tuntas dalam berfikir dan kaedah penyelesaian masalahnya.

Itu adalah berita buruk bagi pelabur-pelabur. Pelabur mahukan kestabilan polisi dan juga perjanjian yang dihormati. Penafian royalti juga meninggalkan kesan yang tidak baik bagi negara. Najib silap lagi.

MEB berhajatkan Najib melakukan reformasi secara struktural dan juga fundamental atau asas ke atas model ekonomi negara. Utama dari kesemuanya faktor kejayaan yang diperlukan adalah menghentikan perhubungan sumbang antara elit bisnes dan elit politik, dengan namanya kronisme, rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Ini bukan faktor ekonomi, tetapi tetapi faktor inilah yang akan menentukan hidup matinya model ekonomi baru secara kritikal dan dominan.

Selainnya akan kita bincangkan dalam huraian MEB dalam kesempatan dan ruang akan datang.

Pokoknya, Najib perlu insaf bahawa beliau tidak hanya boleh bermain slogan dan cuba mengikut laras bahasa Pakatan tanpa menyediakan asas-asas nilai dan penghayatan dalam peribadi kepimpinan dan ahli-aktivis akar-umbi Umno/BN.

Melihat dari perspektif dan sisi ini, Najib berpotensi akan mengalami era yang lebih mencabar sebab partinya Umno telah terlalu lama terbudaya dengan segala kesenangan dan hidup dengan cara dilindungi dengan ‘patronage’ dan kuasa politik Melayu Umno. Sebab itu mereka gerund dengan era peralihan atau transisi kea rah ‘perubahan’ dan ‘transformasi’. Merekalah sebenar-benar ‘konservatif kanan’ dilambangkan kini oleh Perkasa. Untuk Najib menyantuni semua adalah sukar. Laluannya sengit dan getir.

Masih mampukah Najib untuk terus mendepani cabaran mendatang?

Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Masa akan menentukan.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.