TPM: Penyokong BN tak ganas tapi bersemangat tinggi

Oleh G. Manimaran

HULU SELANGOR, 25 April — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) bertindak ganas ketika proses pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hari ini.

Sebaliknya, Timbalan Pengerusi BN ini berkata, pekerja-pekerja jentera BN tidak bertindak ganas tetapi hanya memperlihatkan semangat yang tinggi selepas bekerja keras sejak lebih seminggu lalu.

“Ganas? Istilah yang betul ialah semangat yang tinggi.

“Yang penting ialah mereka mematuhi undang-undang. Pekerja-pekerja BN berada dalam semangat yang cukup tinggi, mereka bekerja keras, jadi mereka hendak menunjukkan mereka berada dalam semangat yang cukup tinggi,” katanya.

Beliau mempertahankan tindakan mereka itu dengan berkata, penyokong-penyokong BN “bukannya menyebabkan masalah kepada tahap keselamatan ataupun apa-apa kejadian yang tidak diingini.”

“Keadaan ini munasabah (boleh diterima) dalam persekitaran sebegitu,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru di sini tengah hari ini.

Muhyiddin (gambar) berkata demikian ketika ditanya dakwaan bahawa penyokong-penyokong BN bertindak kasar ketika cuba memancing undi semasa proses pengundian berjalan sejak pagi ini.

Muhyiddin merupakan antara pemimpin kanan Umno dan BN berada di lapangan meninjau proses pengundian sejak pagi tadi.

Exco Pemuda Umno Lokman Adam dalam twitternya mendakwa seorang penyokong BN dipukul sehingga berdarah oleh penyokong PKR.

Pergaduhan dan suasana tegang juga dilaporkan berlaku di kawasan Ampang Pecah, Serendah dan Bukit Beruntung.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, keadaan adalah terkawal walaupun terdapat sedikit insiden kekecohan di beberapa tempat seperti Sungai Buaya, Bukit Sentosa dan Hulu Bernam.

“Para penyokong parti menimbulkan provokasi sesama mereka seperti jerit-menjerit, ejek mengejek dan membaling botol kosong namun kita berjaya mengawal keadaan. “Cuma ada satu insiden bertumbuk yang mengakibatkan seorang penyokong lelaki cedera di dahinya di sebuah pusat pengundian di Sungai Buaya, namun kita masih belum menerima sebarang laporan polis,” katanya.

Mengenai pondok parti politik yang diminta dialihkan di beberapa kawasan, Muhyiddin berkata, pihaknya akan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya agar mengeluarkan garis panduan yang jelas.

“SPR boleh keluarkan garis panduan tentang sempadan yang dibenarkan dan sempadan yang tidak dibenarkan.

“Kalau diberitahiu awal parti yang bertanding bolehlah ambil kita. kalau tidak diberitahu, dia akan buat kerja dialah.

“Kalau tidak boleh, kena turun... jadi kos bagi kitalah. parti pembangkang pun menanggung kos, kita pun menanggung kos,” katanya.

Sejak beberapa pilihan raya kecil tahun lalu, SPR tidak membenarkan parti-parti politik mendirikan barong ataupun pondok panas berhampiran pusat-pusat mengundi.

Bagaimanapun parti-parti politik yang bertanding mengadakan pondok masing-masing untuk membantu penyokong-penyokong mereka sebelum menuju ke pusat pengundian.

No comments

Powered by Blogger.