Wanita MIC Tolak Calon MIC UMNO?

Sentimen tolak Palani kerana penilaian bias?

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 14 April — Pergerakan Wanita MIC berpendapat persepsi bahawa Timbalan Presiden parti itu Datuk G. Palanivel tidak digemari untuk diturunkan semula sebagai calon kemungkinan kerana tiadanya gambaran menyeluruh melibatkan pengundi pelbagai kaum di Hulu Selangor.

Sambil mempertahankan Palanivel harus diturunkan semula sebagai calon, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Mohana Muniandy wakil dari sayap wanita berkata, andaian timbalan presiden itu tidak disukai kemungkinan kerana hasil kajian membabitkan sekumpulan pihak sahaja.

“Laporan mereka, Umno berdasarkan hasil tinjauan di kalangan orang Melayu.

“Hasil kajian Umno adalah berdasarkan separuh daripada pengundi Melayu... sebab itu saya fikir perspesi mereka berdasarkan pengundi-pengundi Melayu,” kata beliau ketika ditemui pada sidang media anjuran MIC Selangor membantah tindakan Umno yang didakwa cuba mempengaruhi keputusan pemilihan calon dengan menolak nama tunggal Palanivel yang disyorkan oleh Presiden MIC.

Selain Palanivel, turut disebut-sebutkan ialah Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan dan Ketua Penerangan P. Kamalanathan.

Palanivel merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak 1990 tetapi tewas dua tahun lalu.

Ketika ditanya sama ada hasil kajian mereka itu tidak tepat, Mohana berkata beliau tidak berani mengatakan begitu.

“Cuma masing-masing menjalankan kajian mengikut penyokong sendiri,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, kajian yang dijalankan melibatkan kumpulan pengundi yang berbeza.

Mohana yang juga Timbalan Ketua Wanita MIC Selangor dan Ketua Penerangan MIC Kebangsaan berkata, berdasarkan pertemuan pihaknya dengan masyarakat India, majoriti pengundi India menyokong Palanivel sebagai calon pilihan raya kecil ini.

“Kebanyakan golongan muda yang kami temui menolak V. Mugilan, mereka kata mereka mahukan Palanivel.

“Jadi timbul pandangan berbeza disebabkan kajian yang dijalankan oleh pihak berbeza,” kata beliau yang turut mengakui bahawa mereka meninjau kawasan-kawasan pengundi India sejak lebih dua minggu lalu.

Barisan kepimpinan MIC Selangor hari ini mendesak agar Barisan Nasional (BN) mengekalkan pencalonan Palanivel untuk bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Kami hanya mahu nama yang dikemukakan oleh Presiden parti dan MIC, bukan calon lain... kami tidak boleh menerima calon lain selain nama yang dikemukakan oleh parti,” katanya.

Kata beliau, kira-kira 90 peratus daripda 12,000 pengundi kalangan masyarakat India sedia untuk menyokong MIC kali ini.

Bahagian Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pengundi dengan majoriti daripada kalangan orang Melayu.

Laporan media sebelum ini menyebut penyokong-penyokong dan ahli Umno mahukan calon selain daripada Palanivel.

Desakan itu ekoran sentimen di kalangan akar umbi, kata beberapa pemimpin Umno.

“Kami ada kira-kira 6,000 pengundi kalangan ahli MIC... kami ada 73 cawangan, angka itu mungkin lebih tinggi, mereka mahukan kepimpinan Palanivel.

Ketika ditanya sama ada Pergerakan Wanita MIC akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Penerangan Wanita BN Datuk Hamidah Osman untuk membincangkan isu ini, Mohana memberitahu, pihaknya kini menunggu keputusan pucuk kepimpinan.

“Kami akan jumpa dengan beliau selepas menerima kata susulan daripada presiden parti... tengok dulu,” katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.