Apakah K’jaan akan kerugian RM500 juta dalam pembelian 38 EMU 6 gerabak?

Mengapa Kementerian Pengangkutan membeli 38 tren elektrik enam gerabak gandaan elektrik (EMU) dari syarikat Zhu Zhou Electric Locomotive Co. Ltd (China) dengan harga RM1.824 bilion secara runding langsung atau RM500 juta lebih mahal dari asal tender sebelumnya.

Jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan (MOT) kepada soalan tambahan YB Tumpat tentang ‘refurbishment’ atau menaiktaraf koc lama Eletric Multiple Unit (EMU) milik KTMB tidak dijawab oleh Timbalan Menteri. Menariknya, Timbalan Menteri terus menerangkan tentang pembelian 38 EMU 6 gerabak dari sebuah consortium katanya dari negara China (tidak disebut namanya) dengan harga RM1.8 bilion.

Saya gagal untuk mendapatkan soalan tambahan kedua dari Speaker, setelah YB Parit Sulong diberikan laluan tersebut. Saya ingin mempertikaikan jawapan kementerian, sekaligus mendedahkan bagaimana dengan pembelian rundingan langsung ini, kerajaan akan membayar pembelian ini dengan bayaran sehingga RM500 juta lebih tinggi dari sepatutnya.

1. Perkara ini berbeza dengan isu ‘refurbishment’ atau naiktaraf EMU lama. Pada 4 Januari 2010, Presiden KTMB menyebutkan tentang hasrat untuk memanggil tender bagi pembelian 38 set EMU 6 gerabak. Dikatakan bahawa panggilan tender akan dibuat secepat mungkin kerana EMU perlu dibekalkan pada 2012. Kepentingan pengangkutan adalah sebahagian dari penambahbaikan perkhidmatan KTM Komuter dalam NKRA PM Najib menjelang 2012.

2. Terdahulu, tender bagi membekalkan 8 set EMU 3 gerabak telah dipanggil pada 7 Mei 2008, sebelum NKRA diperkenalkan pada 11 Julai 2009. Tender tutup pada 3 September 2008 tetapi tempoh sahlaku tender (tender validity) diperbaharui 5 kali sehingga terakhir pada 26 Mei 2010.

3. Membaca dari laporan terdahulu (cnth 2 Jun, 2010, UM), sumber industri telah pun melaporkan bahawa syarikat pengeluar Zhuzhou dari China (yang kini dilantik menjadi pembekal 38 set EMU enam gerabak di atas), telah pun berjaya memenangi satu tender membekalkan 8 EMU 3 gerabak.

4. Syarikat Zhuzhou adalah merupakan antara 3 syarikat dari China yang menawarkan harga yang rendah dari 8 pembida dalam tender 8 EMU 3 gerabak ini. Zhuzhou menawarkan harga Euro 2.745 juta setiap set EMU 3 gerabak atau RM13.725 juta (mengikut kadar pertukaran wang asing pada Julai 2008). Zhuzhou juga turut menawarkan pengurangan harga bagi opsyen 5 set EMU tambahan ketika itu.

5. Bagaimana pun, keperluan baru yang ditetapkan oleh NKRA berbeda dengan keperluan tender terdahulu. Kini, KTMB memerlukan set EMU 6 gerabak berbanding keperluan asal set EMU 3 gerabak. Namun, hakikatnya, apabila diteliti keperluan KTMB melalui ’Statements of Needs’ atau ’Pernyataan Keperluan’ yang dikeluarkan, konfigurasi set EMU 6 gerabak sebenarnya mengandungi dua (2) set EMU 3 gerabak.

6. Perbezaan paling ketara di antara spesifikasi set EMU 3 gerabak yang ditetapkan dalam tender terdahulu dengan set EMU 6 gerabak yang baru ialah keperluan mempastikan bekalan alatganti EMU adalah untuk tempoh selama 30 tahun bagi set EMU 3 gerabak dan hanya 25 tahun bagi set EMU 6 gerabak. Ini sepatutnya membabitkan pengurangan harga bagi set EMU 6 gerabak memandangkan jangka hayatnya dianggar selama
25 tahun sahaja berbanding jangka hayat dalam tender terdahulu selama
30 tahun.

7. Tidak terdapat perbezaan spesifikasi yang ketara kecuali keperluan permasangan CCTV dan Side Destination Panel pada set EMU 6 gerabak yang tidak akan meningkatkan kos set EMU secara significant.

8. Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Timbalan Menteri seperti tempoh penghantaran set EMU yang lebih cepat dalam jangka waktu 24 bulan, set EMU yang menepati International European Standard dan set EMU yang diperbuat dari aluminium maka ianya adalah lebih ringan dan menjimatkan tenaga bukanlah terma baru. Ia adalah terma sama yang turut ditawarkan Zhuzhou dalam tender terdahulu.

9. Oleh itu, adalah munasabah jika satu set EMU 3 gerabak bernilai RM13.725 juta, maka satu set EMU 6 gerabak ialah RM27.450 juta. Bagaimana pun, mengambil kira pelbagai faktor yang boleh mempengruhi kos seperti kadar inflasi, kadar pertukaran wang asing, peningkatan kos bahan mentah, kos modal dan sebagainya, saya mengandaikan kos satu set EMU 6 gerabak bernilai RM35 juta.

10. Berdasarkan keperluan untuk memenuhi ketetapan NKRA dengan kadar segera, MOT telah mendapat kelulusan untuk mengadakan rundingan terus kerana dikatakan juga akan mendapat penjimatan sekiranya membeli dalam kuantiti yang banyak atas faktor ’economy of scales’.

11. Amat malang bagi rakyat dan negara, apa yang diperolehi oleh Kerajaan ialah ”Harga Tawaran” yang jauh lebih mahal dari harga yang dipersetujui MOF pada 4 Januari 2010 ketika memuktamadkan proses tender terdahulu dan memilih Zhuzhou untuk membekal 8 set EMU 3 gerabak. Ironisnya, tender membekal 8 set EMU 3 gerabak turut dibatalkan pada 27 April 2010.

12. Rakyat kini ingin tahu, mengapa ketika berlaku rundingan terus, syarikat Zhuzhou menawarkan harga yang amat tinggi iaitu sekitar RM48 juta bagi satu set EMU 6 gerabak atau sekitar RM1.8 bilion bagi 38 set EMU

6 gerabak berbanding harga tawaran melalui tender iaitu RM13.725 juta untuk satu set EMU 3 gerabak dan RM30 juta untuk satu set Electric Train Set (ETS) 6 gerabak (yang berspesifikasi lebih tinggi dari spesifikasi set EMU 6 gerabak) ketika membuat tawaran membekal 5 set ETS 6 gerabak pada November 2007. Harga ini, untuk pengetahuan umum, tidak termasuk maintenance, repair dan overhaul.

* Sehubungan dengan perkembangan ini, kerajaan digesa membatalkan segera LOA yang telah dikeluarkan kepada syarikat Zhuzhou dan menyenaraikanhitamkan syarikat tersebut. Negara bakal kerugian sehingga RM500 juta sekiranya pembelian 38 set EMU 6 gerabak diteruskan dengan syarikat Zhuzhou ini.

* Saya juga ingin menyarankan supaya pihak Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) mengambil tindakan supaya Menteri, Kementerian dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan yang terlibat dalam proses rundigan dengan Zhuzhou dipertanggungjawabkan atas perolehan ini kerana jelas akan melibatkan kerugian kepada Kerajaan sehingga RM500 juta.

* Saya juga ingin menyarankan agar SPRM menyiasat proses pembelian ini bagi mempastikan tidak ada unsur-unsur rasuah yang boleh menyebabkan pihak-pihak tertentu meraih keuntungan besar yang amat tidak munasabah, sementara sekali lagi dana rakyat dikhianati.

* Namun, Kerajaan masih boleh meneruskan pembelian EMU 6 gerabak ini dari China dengan memilih pembida lain yang layak berdasarkan tender terdahulu. Pembida terpilih perlu bersedia menawarkan harga terendah sekitar RM35 juta setiap bagi set EMU 6 gerabak atau lebih rendah mengambil kira ”economies of scale” bagi pembelian besar iaitu 38 set EMU 6 gerabak. Keputusan ini akan mempastikan hubungan baik Kuala Lumpur – Beijing terjaga selain memenuhi tuntutan NKRA yang telah ditetapkan oleh YAB PM.


Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Malaysia, Kuala Selangor

28 Jun 2010.

No comments

Powered by Blogger.