KDN Didesak Banteras Jenayah Ahlong

Oleh Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR 29 Jun - Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menuntut Kementerian Dalam Negeri menjelaskan kepada rakyat apakah pendekatan kerajaan dalam menangani kemelut kegiatan jenayah Ahlong yang berleluasa di negara ini.

Beliau berkata, kemerosotan ekonomi yang melanda Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini ditambah dengan faktor kenaikan harga barangan, minyak dan perkhidmatan menjadikan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tertekan.

Sementara prosedur pinjaman bank yang terlalu ketat katanya, memaksa ramai di kalangan golongan pekerja yang tertekan terpaksa membuat pinjaman dengan ceti haram itu yang dikatakan menindas dengan kekerasan termasuk membunuh peminjam yang enggan membayar pinjaman.

"Tiap-tiap hari, di sana sini akhbar tempatan melaporkan pelbagai kisah tentang tindakan keras yang dilakukan Ahlong ke atas peminjamnya yang enggan melunaskan hutang," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut beliau, Menteri Dalam Negeri sentiasa menyatakan bahawa mereka memandang serius kes-kes jenayah melibatkan Along dan mereka telah mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan tersebut.

Namun katanya, mengikut statistik mulai 2007 sehingga 31 Oktober 2009, hanya 21 tangkapan yang dibuat dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang.

"Tiada satu orang pun yang dibawa ke mahkamah di bawah akta tersebut setiap bulan di seluruh Malaysia. Adakah ini usaha serius PDRM? Ataupun cakap kosong sahaja?," kata Penolong Setiausaha Publisiti Kebangssan DAP itu lagi.

Pada 2008, sebanyak 280 kes dilaporkan dan disiasat di bawah akta berkaitan kerana menjalankan aktiviti memberi pinjam wang tanpa lesen. Manakala sepanjang 2009, Jabatan Siasatan Jenayah Kormesial telah membuka sebanyak 484 kertas siasatan di bawah Seksyen 5(2) akta tersebut.

Tambah beliau, kes-kes pinjaman dengan ceti haram juga telah melonjak 73 peratus dalam tempoh setahun.

"Ini adalah amat merisaukan tetapi apa yang lagi mengecewakan adalah walaupun kes-kes pinjaman wang tanpa lesen telah meningkat dengan begitu dahsyat tetapi pada 2008, hanya 31 orang disyaki terlibat dalam kegiatan Ahlong telah ditangkap," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Teo juga menggesa KDN mengemukakan penerangan bagaimana kementerian itu boleh memastikan bahawa mangsa-mangsa kekerasan Ahlong boleh dikurangkan dan mereka akan mendapat perlindungan yang mencukupi dari pihak polis.

Bagi 2009, antara 484 kertas siasatan yang dibuka di bawah akta tersebut, sembilan kes masih dalam perbicaraan mahkamah. Manakala antara 578 kes yang melibatkan kegiatan Ahlong di bawah Kanun Keseksaan yang dilaporkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah bagi tahun yang sama, hanya 70 kes tangkapan telah dibuat (12 peratus) dan lapan kes di dalam perbicaraan mahkamah (1.4 peratus).

Kesimpulannya, hanya kurang daripada 15 peratus kes yang dilaporkan di balai polis akan mendatangkan tindakan positif dari pihak PDRM.

"Jadi soalan saya, buat apa rakyat kita membuat laporan di balai polis? Sedangan 85 peratus daripada mereka yang membuat laporan tidak akan mendapat batuan dari polis," tegas beliau.

No comments

Powered by Blogger.