Azmin dapat hadiah saguhati, sediakan pentas untuk pertempuran

Harapan beberapa khalayak bahawa pemukiman Parti Keadilan Rakyat akan menumbangkan Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan menobatkan MB yang baru tidak kesampaian. Pihak yang menyerang seorang demi seorang menafikan penglibatan mereka. Tian Chua, MP Batu mengugut hendak mengambil tindakan terhadap mereka yang berhasrat menumbangkan Khalid. Atas kuasa apa beliau hendak bertindak tidak pula diketahui. Khalid sendiri menjangkakan pemukiman itu akan menjadi panas, lantas mengelakkan diri daripada hadir.

Namun akhirnya semua jangkaan tidak kesampaian. Tidak ada pergaduhan. UMNO Selangor dan YB Seksyen 7, Ezam Mohd Nor tentu paling kecewa.

Kompromi tampaknya berjaya dicapai di saat akhir. Lantas Khalid bergegas untuk Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan Sidang Akhbar. Azmin Ali, ADUN Bukit Antarabangsa dan MP Gombak, yang tidak pernah kalah dalam setiap pilihanraya yang disertainya berpuas hati dengan hadiah saguhati menjadi Pengerusi Keadilan Selangor. Kedudukan sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS belum diketahui, mungkin Lembaga menolak perletakan jawatan beliau, mungkin juga beliau akan terkeluar daripada PKNS.

Khalid berkompromi melepaskan jawatan Pengerusi Keadilan dan mengekalkan jawatan MB. Kedua-dua mereka kehilangan sesuatu dalam kompromi. Yang mengaut untung ialah Zaid Ibrahim yang menjadi Pengerusi Wilayah Persekutuan. Jasamu dan bankmu tetap dikenang Zaid.

Azmin berpuas hati dengan jawatan Pengerusi dan sekaligus menyediakan pentas untuk pertempuran yang lebih hebat. Sebagai Pengerusi parti, Azmin nanti akan punya tanggungjawab ‘berat’ dan ‘pahit’ untuk menyampaikan kehendak parti kepada Menteri Besar. Azmin akan terpaksa menyuarakan suara hati parti dan mengkritik MB jika melakukan kesilapan. Dengan kata lain Azmin akan menjadi ‘Pengawas’ atau ‘Guru Besar’ kepada Khalid.

Sekiranya Khalid terus ‘berdegil’ dengan sikapnya, maka si Guru Besar terpaksa mendisplinkan Khalid. Jika tetap juga degil maka ‘Guru Besar’ akan terpaksa memikul beban besar sebagai calon MB yang baru dalam menghadapi Pilihanraya Ke-13 semata-mata demi untuk memastikan keADILan dan Pakatan Rakyat dapat mempertahankan Selangor.

Bukan kehendak Azmin untuk menjadi MB, tetapi semata-mata untuk menyelamatkan keadaan.

Ketika itu pertempuran yang lebih besar akan berlaku. Baru lah padan Pengerusi lwn. MB. Jika sekadar sebagai ADUN, MP, Ketua Whip, Pengarah PKNS, Ketua Cabang, Naib Presiden belum tentu sesuai bertempur dengan MB, Pengerusi, ADUN, MP (yang kerusinya di sebelah Anwar dalam Dewan Rakyat), Ketua Cabang dan Ahli Biro Politik.

Atau apakah mungkin pentas sedang disediakan untuk pertempuran merebut jawatan di dalam parti menjelang akhir tahun ini? Apakah Naib Presiden paling kanan yang saban kali pemilihan mendapat undi paling banyak sudah memulakan percaturan dan gerakan?

Nampaknya YB Seksyen 7 terpaksa menunggu lagi dan bekerja keras untuk memangkinkan pertempuran di dalam keADILan. Kerja YB, ganjaran sudah diberi.


http://azakiyamani.wordpress.com/2010/06/28/azmin-dapat-hadiah-saguhati-sediakan-pentas-untuk-pertempuran/

No comments

Powered by Blogger.