Dua mayat berulat

Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my

SUNGAI BULOH: Dua sahabat yang maut dirempuh kereta api ketika cuba melintasi landasan berhampiran Stesen Kereta api Tanah Melayu (KTMB) Sungai Buloh di sini, ditemui dalam keadaan berulat pagi semalam.


Mayat mangsa hanya ditemui orang ramai pagi semalam sejurus terhidu bau busuk luar biasa yang datang dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komosioner Arjunaidi Mohamed yang dihubungi berkata, kedua-dua mayat mangsa ditemui orang awam pada 11.30 pagi semalam.


Menurutnya, polis yakin kedua-dua mangsa rakyat tempatan itu cuba melintas landasan namun tidak menyedari kehadiran kereta api yang dalam perjalanan ke arah Utara, menyebabkan mereka dilanggar.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak dan maut di tempat kejadian berikutan cedera parah di kepala dan anggota badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa mungkin dirempuh kereta api pada waktu malam apabila maklumat mengatakan pemandu kereta api KTMB pernah membuat aduan berasa sangsi apabila melanggar sesuatu objek di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, selepas diperiksa, polis bantuan dari KTMB gagal mengesan sebarang objek atau mangsa di lokasi kejadian hinggalah penemuan dua mayat lelaki itu pagi semalam,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Difahamkan, polis mengenal pasti identiti mangsa berdasarkan penemuan Mykad pada mayat yang reput.

Arjunaidi meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membuat pengecaman.

No comments

Powered by Blogger.