Khairy tidak diundang rasmi mesyuarat Pemuda Umno Kelantan

Oleh Muda Mohd Noor

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tidak diundang untuk merasmikan mesyuarat pergerakan itu di negeri Kelantan yang mempunyai 14 bahagian tahun ini.

Sebaliknya, Datuk Mukhriz Mahathir yang dikalahkannya dalam perebutan jawatan ketua pada Mac tahun lalu, yang merasmikan mesyuarat Pemuda Bahagian Kuala Krai, 18 Jun lalu.

Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim pula dijadualkan merasmikan mesyuarat Pemuda Bahagian Pasir Puteh pada Sabtu ini.

Seorang exco pergerakan, Datuk Suhaimi Shahadan merasmikan mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Tumpat pada hari Sabtu lalu.

Ketika diminta mengulas perkara ini, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Annuar Saffian berkata, "Khairy sengaja tidak diundang kerana Pemuda Kelantan mahu memberi tokoh baru merasmikan mesyuarat Pemuda tahun ini."

"Khairy sudah setiap tahun datang merasmikan mesyuarat Pemuda Umno Kelantan. Dan beliau berjanji akan datang (ke Kelantan) selepas mesyuarat Pemuda selesai.

Jadual yang ketat

"Khairy sendiri memberitahu beliau mempunyai jadual yang ketat dan mahu ke negeri lain. Maknanya keputusan tidak mengundang Khairy dipersetujui oleh ketua Pemuda Umno itu sendiri.

Annuar berkata, beberapa mesyuarat Pemuda pula dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian dan juga oleh ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno sendiri.

Antara ahli Majlis Tertinggi yang merasmikan mesyuarat Umno bahagian di Kelantan ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabbery Cheek dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Annuar, tindakan Pemuda Umno Kelantan tidak mengundang Khairy merasmikan mesyuarat Pemuda bukan bertujuan untuk meminggirkan Khairy seperti didakwa oleh golongan tertentu.

"Saya dan barisan exco Pemuda Umno Kelantan semuanya dilantik oleh Khairy. Tidak mungkin saya mahu meminggirkannya.

"Mengapa orang suka menimbulkan isu Khairy sekarang atau adakah kerana beliau tidak dilantik menjadi menteri kabinet?" Soal beliau.

No comments

Powered by Blogger.