Terima Kasih Untuk Vincent?
Terkini, Vincent menyalahkan Pakatan Rakyat kerana menyebabkan kerajaan BN menarik balik keputusan mengeluarkan lesen judi sukan kepada syarikatnya minggu lalu.
Menyalahkan tindakan PR bermaksud membenarkan tindakan BN. Dia pernah memerli PAS dengan katanya, “Adakah kerana mereka tidak boleh bertaruh?” apabila PAS secara jelas membantah pemberian lesen judi tersebut.
Bagi Vincent, tindakan PR membantah judi adalah salah sementara tindakan BN memberinya lesen itu adalah betul. Sifir mudahnya ialah, BN + Judi = Betul.
Vincent taikun judi. Samada judinya dilesenkan atau tidak, itu tidak menjadi soal. Judi tetap diteruskan walau pun tanpa lesen. Cuma, kerajaan tidak turut mendapat hasil apabila judi itu tidak dilesenkan. Dan, Vincent pula mengaut keuntungan judi secara ‘haram’.
Vincent mahu judi dilesenkan untuk membolehkannya menyumbang kepada kerajaan BN. Kerana kemaruk duit, judi itu pun bersedia dilesenkan. Bagi kerajaan BN, asalkan dapat duit, rakyat rosak binasa pun tidak mengapa.
Vincent juga tahu, judi merosakkan. Tetapi orang bisnes sepertinya tidak memikirkan itu semua. Duit lebih penting. Untuk menjustifikasikan perniagaan judinya, dia meuar-uarkan untuk menyumbang hasil judi itu untuk membela rakyat susah.
Kerajaan BN pula bersedia rakyatnya yang susah disenangkan dengan duit judi yang melimpah-ruah itu. Akhirnya, tanpa berfikir panjang, lesen pun bersedia dikeluarkan.
Mujurlah rakyat Malaysia lebih cerdik. Walau pun mereka susah, mereka tidak rela senang dengan wang judi Vincent. Mereka tidak rela memenuhkan poket mereka dengan wang ‘halal’ judi berlesen Vincent.
Vincent lupa, bantahan judi bukan datang daripada orang PR sahaja tetapi daripada semua orang. Apabila dia marahkan PR kerana membantah lesen judi, sebenarnya dia marahkan rayat Malaysia.
Inilah ‘faedah’ judi. Judi mengayakan kerajaan yang zalim dan taikunnya. Judi tidak pernah mengayakan orang susah. Judi tidak pernah mengeluarkan rakyat mana-mana negara pun daripada kemiskinan tegar.
Taikun judi menjadi kaya dengan mencekik leher dan menghisap darah kaki judi. Tanpa sedar, kaki judi berasa mereka bakal kaya dengan judi, padahal mereka sebenatnya mengayakan taikun judi.
Orang ramai boleh berterima kasih kepada Vincent. Tindakannya menyalahkan PR mendedahkan pekung sebenar Umno. Rupa-rupanya Umno sangat berharap agar negara ini berpeluang kaya dengan duit judi Vincent.
Bagi Vincent tindakan kerajaan negeri pimpinan PR tidak membenarkan judi sukan adalah tindakan zalim. Dalam rayuannya dia berharap kerajaan PR bersikap adil dalam isu ini.
Maksudnya, dia memuji negeri BN yang bersikap adil dengan membenarkan judi sukan beroperasi di negeri-negeri tadbiran mereka.
Pernahkah perompak memuji polis? Apabila perompak memuji polis, tentu ada yang tidak kena dengan polis. Tetapi apabila perompak marah dan menyalahkan polis, itu tandanya polis berada di pihak yang benar.
Ironinya, apabila Vincent, taikun judi marah dan menyalahkan PR, maknanya PR berada di pihak yang benar. Vincent tidak marahkan Umno, tidak menyalahkan Umno dalam isu ini. Mengapa?
http://sauhdibongkar.blogspot.com/2010/06/terima-kasih-untuk-vincent.html
No comments
Post a Comment