Mahathir gesa Najib hidupkan ‘jambatan bengkok’

KUALA LUMPUR, 30 Jun - Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian beliau agar pentadbiran Najib Razak menghidupkan semula pelan membina “jambatan bengkok” yang pernah dicadangkannya untuk menggantikan Tambak Johor menghubungkan Johor dan Singapura.

Sehubungan itu, bekas perdana menteri menyoal sebab Datuk Seri Najib Razak enggan meneruskan idea berkenaan memandangkan perkara tersebut juga telah disentuh oleh Sultan Johor minggu lalu.

“Dilaporkan bahawa Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor telah bertitah bahawa baginda suka untuk melihat jambatan menggantikan tambak Johor.

“Demikian juga dititah oleh Al-Marhum Sultan Iskandar bahawa baginda hendak tambak Johor diganti dengan jambatan.

“Saya tidak pernah dengar rakyat Johor kecuali seorang yang bersetuju kekalkan tambak dan kesesakan lalu lintas di Johor Baru kerananya. Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini,” kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru blognya hari ini.

Pada 26 Jun lalu, Sultan Ibrahim meminta kerajaan mempertimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Sultan Ibrahim bertitah Tambak Johor amat penting kepada rakyat, malah institusi kesultanan Johor sejak pemerintahan terdahulu sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor.

Dalam ulasan segera pada hari yang sama Najib berkata, kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun Perdana Menteri tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Menjawab soalan pengunjung blognya bekas presiden Umno ini menambah, terdapat juga surat daripada bekas perdana menteri Singapura Goh Chok Tong yang disiarkan oleh kerajaan Singapura dalam buku “Water Talks - If Only It Could” bahawa beliau tidak membantah pembinaan jambatan di perairan Malaysia jika itu dikehendaki oleh Malaysia.

Oleh itu kata Dr Mahathir, yang menolak pembinaan jambatan ini hanyalah perdana menteri Malaysia yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mendakwa rakyat Johor tidak mahu jambatan ini walaupun tiga hari sebelum kenyataan ini dibuat timbalan perdana menteri ketika itu iaitu perdana menteri sekarang telah mengesahkan bahawa Jambatan berkenaan tetap akan dibina.

“Soal yang ditanya oleh ramai kepada saya, dan saya yakin yang tertanya-tanya oleh majoriti rakyat ialah kenapakah Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri yang penuh berkuasa tidak sanggup meneruskan pembinaan jambatan ini?

“Apakah beliau terikat janji dengan perdana menteri kelima? Apakah status janji ini?” katanya.

Dr Mahathir juga menulis, “dengan itu banyaklah tuduhan dibuat yang mungkin akan memedihkan telinga pihak yang berkenaan.”

Kata beliau lagi walaupun pemimpin Umno Johor telah ikrar mereka akan terus sokong Barisan Nasional, tetapi di kalangan pengundi berbilang kaum ramai yang kurang percaya akan kewibawaan kerajaan.

“... dan belum membuat keputusan berkenaan siapa pilihan mereka. Dan, NGO-NGO Melayu di seluruh negara juga berpendirian yang sama.

“Saya tulis berkenaan jambatan untuk ganti tambak Johor kerana saya percaya rakyat ingin tahu dan berhak diberitahu,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.