Politik dan Piala Dunia

Oleh Johardy Ibrahim

TERDAPAT sebilangan peminat kejohanan bola sepak Piala Dunia yang sangat anti terhadap skuad England. Mereka seronok bila dua perlawanan awal England hanya mampu seri, masing-masingnya dengan Amerika Syarikat dan Algeria. Kemuncak manifestasi sentimen tersebut adalah pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan C, England bertemu Slovenia pada Jumaat lalu.

Tatkala Perancis menjadi pasukan ‘besar’ pertama gulung tikar sehari sebelum itu, senda gurau (termasuk kutukan) meluas mengatakan Perancis akan bertemu dengan England pada pagi Sabtu, bukan di atas padang tetapi ‘di lapangan terbang untuk pulang ke negara masing-masing’. Bila England layak ke pusingan kalah mati, masih ramai yang mencemuhnya kerana berada di bawah Amerika Syarikat dalam kumpulan C. Mereka juga mengatakan Jerman akan menewaskan England jam 10 malam ini waktu Malaysia. ‘‘Maka pesawat yang patut berlepas pulang semalam, masih menunggu pada pagi Isnin’'.

Semangat anti skuad England agak aneh. Tinjauan rambang terhadap kenalan-kenalan yang melafazkan doa seumpamanya mendapati ia lebih menjurus kepada persepsi. Skuad England dikatakan hanya dipenuhi dengan pemain bola sepak playboy, dibayar melampau-lampau, bongkak, terlebih promosi dan entah apa-apa lagi, tetapi tidak pandai bermain bola dan maka itu, tidak akan mara memenangi Piala Dunia, apalagi melepasi Jerman malam ini.

Maka saya lontarkan soalan tambahan, bukankah anda juga sebulan sebelum itu sibuk mengisytiharkan diri sebagai penyokong Arsenal ataupun Manchester United dan Chelsea, tatkala kedua-duanya merebut takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris? Ada yang menjawab, kedua-dua pasukan dipenuhi pemain import, maka kelab bola sepak Inggeris itu sekadar negara angkat. Lagipun, di peringkat Piala Juara-juara Eropah, pasukan Itali iaitu A.C Milan yang memenanginya. Logikkah jawapan tersebut?

Dan jika dinilai atas dasar meritokrasi iaitu prestasi permainan, rasanya Perancis dengan Itali yang bungkus beg awal, tidak menerima cemuhan seteruk England, sedangkan Perancis terutamanya, membentuk nukleus yang tinggi dalam skuad Arsenal dan Chelsea. Penyerang utama Chelsea, Nicholas Anelka dituduh sebagai dalang memporak-porandakan Perancis. Patrick Evra dari Manchester United dimalukan apabila disuruh duduk diam di bangku simpanan pada perlawanan akhir kumpulan.

Namun England juga tetap menjadi cemuhan walaupun Jermaine Defoe menjaringkan gol kemenangan. Berbeza dengan Piala Dunia Jerman empat tahun lalu, satu aspek negatif yang merosakkan imej mereka ialah WAGS iaitu istilah sinikal untuk isteri dan teman wanita, yang membayangi liputan untuk pasukan. Bila direnungi, itulah sebenarnya punca rasa menyampah iaitu liputan berlebihan oleh media. .

Dari satu sudut sains sosialnya, kemaraan England dalam Piala Dunia mampu menjadi inspirasi kepada penyatuan yang diperlukan oleh negara itu. Tidak kira Jermain Defoe yang berkulit hitam atau Steven Gerrard yang menjaringkan gol, semua etnik pendatang dan penduduk asal United Kingdom bersatu meraikannya. Malaysia menyedari potensi ini.

Emosi memang bersimpang-siur sepanjang temasya Piala Dunia ini. Ramai yang marah dan menyorok semula jersi Itali dan Perancis yang mereka beli. Mereka terpaksa mengisytihar pasukan negara lain sebagai pilihan hati. Bayangkan apa akan terjadi jika England tewas malam ini.

Luar biasa

Semua ini membentuk pancaroba Piala Dunia. Ia membuktikan bola sepak adalah sukan nombor satu di dunia, mengatasi mana-mana sukan secara individu mahupun sebagai satu temasya khusus seperti Sukan Olimpik. Semua ini adalah usaha luar biasa dua peneraju Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu Joao Havelange dan Sepp Blatter yang menggabungkan elemen komersial kepada Piala Dunia sehingga menjadi kalendar wajib bagi syarikat-syarikat korporat dan perdagangan global untuk menyertai pengiklanannya.

Satu kisah popular yang mengaitkan pengaruh besar yang dimiliki oleh pemegang jawatan FIFA adalah pada 1998 bila Havelange ditanya apakah dia menganggap dirinya lelaki paling berkuasa di dunia.

Ia adalah soalan yang wajar ditanya kepada Presiden Amerika Syarikat tetapi Havelange tidak teragak-agak untuk menjawabnya. ‘‘Saya sudah ke Rusia dua kali, dijemput oleh Presiden Boris Yeltsin. Di Itali, saya bersua Pope John Paul II tiga kali. Bila saya ke Arab Saudi, Raja Abdullah Fadh menyambut meriah kedatangan saya. Apakah anda fikir seorang ketua negara akan memberikan masa sedemikian untuk sesiapa saja? Itu namanya penghormatan. Mereka memiliki kuasa dan saya juga mempunyainya iaitu kuasa bola sepak, yang merupakan kuasa paling hebat pernah ada.”

Di kebanyakan negara di dunia, bola sepak dan politik bercampur aduk setiap masa. Piala Dunia begitu kuat pengaruhnya hinggakan mampu menghentikan perang saudara di Ivory Coast selepas skuad bola sepaknya melayakkan diri ke Piala Dunia 2006. Begitu juga bila Iran layak pada 1998 yang menyaksikan jutaan rakyatnya meluru ke jalan raya merayakan kemenangan. Bila Iran menewaskan Amerika Syarikat, ada akhbar negara itu mengaitkan kemenangan itu dengan menewaskan syaitan imperialis dunia. Dan tentunya paling tragis dalam sejarah bola sepak rusuhan semasa perlawanan El Salvador dengan Honduras pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 1969 mencetuskan perang yang mengorbankan lebih 2,000 nyawa.

Iran tewas kepada Korea Utara pada sesi kelayakan Piala Dunia 2010. Perlawanan tersebut dipenuhi panahan politik. Ia berlangsung sejurus sahaja pilihan raya kontroversi di Iran di mana beberapa pemain yang didapati melilit kain hijau telah dibuang daripada skuad. Mereka tewas, mungkin tidak mahu kemenangan itu dijadikan modal oleh pihak tertentu di negara Parsi tersebut.

Di pihak Korea Utara tidak kurang hebatnya. Tatkala pemimpin negara itu Kim Jong-il dipaparkan sebagai komunis gila, termasuk dituduh menenggelamkan kapal peronda Korea Selatan, keupayaan skuadnya menjaringkan gol semasa menentang Brazil, menjadi kebanggaan negara itu di persada dunia. Mimpi Cinderella itu berakhir apabila Portugal membelasah mereka dalam margin terbesar setakat ini (7-0).

Berjaya

Kejayaan Sepanyol menewaskan Chile bukan sahaja melegakan tetapi berjaya melenyapkan sekejap isu kewilayahan antara Catalonia di timur negara itu. Wilayah ini yang terkenal dengan kelab bola sepak Barcelona, cenderung untuk melihat diri mereka bukan mewakili Sepanyol. Mereka memiliki bahasa pertuturan sendiri iaitu Catalan yang jika bagi orang luar, bunyinya seperti adunan bahasa Perancis, Sepanyol dan Portugis disatukan. Tonggak tengah Sepanyol, Xabi atau nama penuhnya, Xavier Hernandez i Creus berasal dari Catalonia.

Seorang ahli sejarah Perancis, Laurent Dubois yang menulis buku bertajuk Soccer Empire: The World Cup and the Future of France memberi penjelasan munasabah semasa ditanya mengapa bola sepak adalah cara terbaik untuk melihat kepada politik identiti nasional.

Menurutnya, secara asasnya, pasukan kebangsaan membentuk sebuah negara dalam cara sangat berkuasa kerana 11 pemain di atas padang secara mutlak menentukan sama ada sesebuah negara itu adalah yang terbaik atau tidak, di dunia.

Mengambil contoh Perancis, terdapat kalangan rakyat yang merasakan pasukan itu bukan mewakili mereka, terutama bila ia membabitkan pemain yang merupakan migran dan golongan yang tersisih dalam masyarakat. Kebanyakan pemain Perancis khususnya berkulit hitam, adalah pendatang dari negara bekas jajahan Perancis. Ikon legendanya, Zinedine Zidane berasal dari Algeria.

Kemaraan Amerika Syarikat kali ini juga menarik perhatian. Negara di mana bola sepak dipanggil soccer, bukan football kerana ia merujuk kepada ragbi Amerika, mempunyai pemahaman aneh

mengenai bola sepak. Walaupun ia dimainkan di sekolah-sekolah, pasukannya dianggotai oleh campuran lelaki dan perempuan. Semakin ramai ibu bapa menggalakkan anak mereka bermain sukan bola sepak berbanding ragbi Amerika yang disifatkan sukan berlaga badan yang hanya boleh dimainkan oleh kaum lelaki.

Pemilihan Afrika Selatan yang sekali gus menjadi lokasi pertama di benua Afrika sebagai tuan rumah Piala Dunia sarat dengan mesej politik. Daripada segi bola sepak itu sendiri, ia suatu pengiktirafan FIFA terhadap Persekutuan Bola sepak Afrika. Pada 1966, benua Afrika memboikot Piala Dunia kerana ketika itu, mereka tidak diperuntukkan jaminan walau satu slot pun dalam pertandingan itu.

Selain itu, Afrika Selatan mengambil peluang sekali lagi untuk membersihkan imej silamnya. Negara ini pernah diboikot semasa era aparteid bila ia enggan membariskan pemain berbilang kaum ke kejohanan Piala Negara Afrika. Kini selepas 16 tahun aparteid ditamatkan, Afrika Selatan berpeluang mempamerkan identiti negara yang telah terbentuk sejak era itu, serta bunyi bingit dari alat vuvuzela.

Bila saya kemukakan soalan yang merujuk England dalam laman facebook, ramai yang pantas melabel saya sebagai penyokong negara itu. Mungkin benar tetapi tidak tepat. Pilihan saya adalah mana-mana pasukan yang memiliki pemain Liverpool di dalamnya. Ini merangkumi England, Argentina, Sepanyol, Belanda, Denmark dan Slovakia yang menumpaskan Itali dengan penuh keyakinan Khamis lalu. Anda, bagaimana?

No comments

Powered by Blogger.