Jambatan bengkok: Najib tidak wajar diberi tekanan

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu diberi peluang serta ruang secukupnya bagi menyelesaikan segala masalah tertangguh dalam hubungan dua hala Malaysia dan Singapura dalam membawa manfaat kepada negara untuk tempoh jangka masa panjang.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata sebagai ketua kerajaan Najib sudah pasti mempunyai kebijaksanaan dalam membuat rundingan dengan Singapura yang selama ini gagal dilakukan pemimpin terdahulu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kenapa perlu beri tekanan kepada Perdana Menteri... saya yakin beliau tahu apa yang dilakukan dan ia dibuktikan dengan kenyataan segera bahawa kerajaan akan mengkaji pembinaan jambatan sebaik mendapat titah Sultan Johor, Sabtu lalu,” kata beliau hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pembinaan jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor.

Nur Jazlan berkata, pembinaan jambatan bukannya satu keperluan mendesak memandangkan kerajaan perlu berhemah dalam perbelanjaan dan perlu mengutamakan perbelanjaan yang memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam menyelesaikan masalah trafik di Tambak Johor dengan mengumumkan penurunan kadar tol sebanyak 30 peratus di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

“Saya secara peribadi merasa hairan mengapa Tun Dr Mahathir begitu beria-ia mahukan jambatan berkenaan... selama lebih 80 tahun, Tambak Johor tidak mendatangkan sebarang masalah kepada rakyat Johor.

“Beliau sebagai pemimpin dari utara tanah air sendiri, gagal menyelesaikan masalah dalam hubungan dua hala Malaysia dan Thailand, sebagai contoh konflik selatan Thailand dan sudah pasti Tun (Dr Mahathir) tidak gagal menyelami sentimen sebenar rakyat Johor berhubung isu Tambak Johor ini,” katanya.

“Sehubungan itu, Nur Jazlan mahu semua pihak supaya memberikan peluang kepada Perdana Menteri dalam menyelesaikan terlebih dulu Perjanjian Capai Persetujuan (POA) yang gagal diselesaikan sejak 20 tahun lalu.

“Sekarang, Perdana Menteri dalam proses menyelesaikan semua isu dalam POA dan kita perlu memberikan sokongan padu kepada beliau bagi memastikan hubungan lebih erat dapat terjalin antara Malaysia dan Singapura, demi manfaat generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, jika semua masalah tertunggak dalam hubungan dua hala Malaysia dan Singapura dapat diselesaikan, sudah pasti pembangunan Iskandar Malaysia akan mendapat pelaburan asing lebih besar dari Singapura.

Dalam pandangannya hari ini, Dr Mahathir mengulangi pendirian beliau agar pentadbiran Najib menghidupkan semula pelan membina “jambatan bengkok” yang pernah dicadangkannya untuk menggantikan Tambak Johor menghubungkan Johor dan Singapura.

Sehubungan itu, bekas perdana menteri menyoal sebab Datuk Seri Najib Razak enggan meneruskan idea berkenaan memandangkan perkara tersebut juga telah disentuh oleh Sultan Johor minggu lalu.

“Dilaporkan bahawa Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor telah bertitah bahawa baginda suka untuk melihat jambatan menggantikan tambak Johor.

“Demikian juga dititah oleh Al-Marhum Sultan Iskandar bahawa baginda hendak tambak Johor diganti dengan jambatan.

“Saya tidak pernah dengar rakyat Johor kecuali seorang yang bersetuju kekalkan tambak dan kesesakan lalu lintas di Johor Baru kerananya. Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini,” kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru blognya hari ini.

Dalam pada itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut menggesa agar Perdana Menteri menghidupkan semula projek jambatan bengkok.

“Majlis Presiden MCA berpandangan bahawa kerajaan seharusnya dengan serius melihat projek ini sebagai kehendak rakyat Johor,” kata beliau kepada pemberita di sini.

“Pemimpin kedua-dua negara harus melihat perkara ini untuk memenuhi kehendak rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.