SPRM Dituntut Lebih Telus, Berani

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 30 Jun - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar menggunakan kesempatan mereka di Eropah untuk menghubungi pihak berkuasa Perancis yang sedang menjalankan siasatan berkenaan kes skandal komisen pembelian dua buah kapal selam Scorpene.

"Saya berterima kasih kepada Yang Dipertua Speaker kerana memaklumkan kepada saya, bahawa satu siasatan sedang dijalankan. Kami menyeru dan mengalu-alukan tindakan SPRM dan berharap mereka akan bertindak secara telus dan berani, untuk menyiasat sedalam-dalamnya bagi mendapatkan maklumat berkaitan," kata Tian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen selepas sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-10 bagi peringkat Kementerian pagi ini.

Turut hadir bersama beliau dalam sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Tian turut memaklumkan bahawa beliau bersedia untuk memberikan kerjasama bagi membantu pihak SPRM menjalankan siasatan tersebut. Ini bertujuan untuk membantu bagi mendapatkan maklumat kemungkinan wujudnya rasuah dan penglibatan individu-individu tertentu dalam kes ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Tian mencadangkan kepada SPRM, untuk memanfaatkan kunjungan mereka ke Eropah dan berhubung dengan pihak berkuasa Perancis dan menjalinkan kerjasama antara dua pihak terbabit. Ini adalah kerana pihak berkuasa Perancis telah pun memulakan siasatan berkaitan dengan kes yang melibatkan skandal komisen pembelian kapal selam Scorpene tersebut.

Tian turut memaklumkan bahawa, SPRM akan ke Eropah khusus untuk bertemu Penyiasat Persendirian, Balasubramaniam bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan penglibatannya dalam isu komisen pembelian kapal selam Scorpene dan lain-lainnya.

Ketika ditanya mengenai tarikh keberangkatan pasukan penyiasat SPRM yang akan ke berkunjung ke Eropah untuk tujuan tersebut, Tian menjelaskan bahawa mereka akan berada di Eropah dalam masa terdekat.

"Mungkin dalam minggu hadapan, jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.