Khalid & Azmin gandingan ideal, rakyat terus selesa

SHAH ALAM, 28 Jun – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyifatkan Tan Sri Khalid Ibrahim dan Azmin Ali sebagai gandingan ideal yang mampu memberi impak positif kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kerajaan Selangor.

Gandingan ini dijangka memberi kelebihan kepada rakyat untuk terus menikmati pelbagai kebajikan yang dibawa kerajaan Selangor dan keseimbangan politik melalui kestabilan kepimpinan PKR.

Azmin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor bagi memperkukuh kedudukan politik negeri manakala Tan Sri Khalid memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Bercakap kepada TV Selangor, Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menyatakan keyakinannya terhadap gandingan kedua-dua pemimpin dalam menerajui perubahan di Selangor.

“Secara idealnya, Tan Sri (Khalid) dengan kelebihannya yang bersih dan tidak rasuah terus menjadi Menteri Besar – mengetuai kepimpinan Selangor.
“Pada masa yang sama, Azmin dengan kepimpinan politik yang luas, secara idealnya dapat memberi hasil yang baik kepada parti dan Pakatan Rakyat di Selangor,” katanya.

Khairul Anuar juga menegaskan gandingan Abdul Khalid dan Azmin pasti membawa kebaikan kepada rakyat Selangor, seluruhnya.

“Kedua-dua mereka ikhlas. Azmin sendiri masuk sebagai Pengerusi MPN, ikhlas untuk memastikan dan membantu Tan Sri (Khalid), selain memastikan PKR dan Pakatan Rakyat mengekalkan kuasa di Selangor.

“Dan, yang lebih penting lagi ialah soal rakyat. Bahawa PKR dan Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid dan Azmin memang ikhlas untuk membantu rakyat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.