PAS mahu guna gandingan Azmin hadapi PRU-13

KUALA LUMPUR, 30 Jun — PAS Selangor percaya pelantikan Naib Presiden PKR Azmin Ali sebagai pengerusi baru Selangor akan memantapkan lagi parti itu, sekali gus memperkasakan jentera Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata dengan rombakan kecil yang dilakukan PKR Ahad lalu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan dapat menumpukan perhatian ke arah membangunkan Selangor dengan memberi fokus kepada agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES).

“Kita mengalu-alukan pelantinkan Azmin sebagai Penegrusi Majlis Pimpinan PKR Selangor yang baru dan kita yakin Khalid akan dapat menumpukan lebih perhatian dalam membangungkan Selangor selepas melepaskan jawatan kepada Azmin.

“Sesungguhnya Azmin memiliki pengalaman yang luas dalam bidang politik malah sudah menjalin hubungan kerja dengan PAS Selangor sejak beliau dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang diketuai Datuk Dr Hasan Ali ketika memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 1999.

“Justeru PAS Selangor akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada beliau selaku ketua PKR negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Ahad lalu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Azmin mengambil alih jawatan pengerusi negeri Selangor.

Wan Azizah berkata, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan perhatian terhadap soal pentadbiran kerajaan negeri.

Roslan Shahir berkata pihaknya akan mengaturkan pertemuan segera dengan Azmin bagi menyelaraskan gerak kerja politik antara kedua-dua parti.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan beliau untuk menyelaraskan gerak kerja politik selain menantikan kehadirannya dalam mesyuarat Pakatan Rakyat peringkat Selangor.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan pertemuan dengan Khalid selaku menteri besar bagi menyatakan sokongan dan keyakinan PAS Selangor terhadap kepimpinan beliau,” katanya.

Beliau berkata PAS Selangor komited untuk memastikan kejayaan Pakatan Rakyat bukan hanya dalam mempertahankan Selangor malah menyumbang ke arah kejayaan untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

No comments

Powered by Blogger.