Aktivis: ‘Siapa tipu siapa dalam isu ulama muda serta Umno?’

KUALA LUMPUR, 3 Julai — Seorang aktivis Umno Datuk Mustapha Taib berkata, dakwaan yang mengatakan Umno memperdaya ulama-ulama muda agar menyertai parti itu minggu lalu adalah tidak benar sama sekali kerana tiada individu yang dipaksa dalam soal itu.

Beliau juga mengakui empat orang yang mendakwa diperdaya Umno memang tidak mengisi borang dan tidak menyertai parti itu.

Mustapha yang mengakui membawa empat rakan anaknya termasuk Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, salah seorang yang mendakwa diperdaya, ke majlis berkenaan memberitahu, pensyarah itu bersama kawan-kawanya tidak termasuk dalam senarai 40 ulama menyerti Umno Jumaat lalu.

Berkongsi cerita di sebelah pihaknya, kata beliau, pada malam berlangsungnya majlis kemasukan ulama muda ke dalam Umno, beliau sebenarnya mempunyai majlis makan malam bersama Kobena di Hotel Legend dan beliau turut menjemput rakan anaknya untuk turut serta.

Hotel Legend terletak berhampiran dengan Menara Dato’ Onn.

“Sebelum itu, saya singgah dengan mereka di majlis berkenaan dan tiba-tiba saya melihat Hosni dan rakan-rakannya berada di belakang Datuk Seri Shahidan Kasim semasa sidang media.

“Itulah yang saya ragu dan hairan. Kenapa mereka turut serta pada sidang media berkenaan?

“Selepas itu, saya tercari-cari mereka dan rupa-rupanya mereka turut sama menikmati jamuan bersama ulama muda yang menyertai Umno,” kata beliau dipetik Umno Online.

Beliau seterusnya melahirkan kehairanan kerana Hosni kini membuat kenyataan yang mengatakan Umno menipu berhubung kemasukan ulama muda ke dalam Umno.

“Siapa tipu siapa ni... saya pun hairan kerana beliau sama sekali tidak pernah mengisi borang keahlian Umno sebelum itu,” kata Mustapha.

Hosni mendakwa dia ditipu apabila disebut sebagai salah seorang daripada 40 ulama muda yang menyertai Umno Jumaat lalu.

Kata Hosni, keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada seorang rakan mereka kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu berjumpa dengan bekas pelajar-pelajar Jordan.

Ketika ditemui selepas ceramah anjuran PAS di Shah Alam kelmarin, Hosni yang mendakwa dirinya ‘diperdaya’ agar memasuki Umno minggu lalu menegaskan, dia tidak pernah mengisi borang menyertai parti tersebut sebagimana dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun Hosni mengakui kehadirannya dalam program Jumaat yang berakhir dengan penyerahan borang adalah kerana diberitahu Najib yang juga Presiden Umno mahu bertemu dengan mereka yang pernah belajar di Timur Tengah.

Hosni, 27, pensyarah Maahad Tahfiz Integrasi Sains Teknologi Selangor mendakwa dia tidak pernah melihat dan mengisi sebarang borang keanggotaan Umno.

Katanya, dia tidak mahu orang salah faham dengan apa yang berlaku Jumaat lalu.

Dakwaan keempat-empat mereka juga dinafikan oleh Shahidan dan jurucakap kumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno.

Jurucakap kumpulan 40 ulama itu, Fadlan Mohd Othman juga telah menafikan empat orang yang mendakwa diri mereka ‘diperdaya’ untuk memasuki parti BN itu sebagai ahli kumpulan tersebut.

Kumpulan 40 ulama ini menyerahkan borang penyertaan ahli Umno kepada Najib sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Mereka diterima sebagai ahli Umno secara automatik.

No comments

Powered by Blogger.