Kit Siang Desak Hentikan Tindakan Gantung Suara Keadilan

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 3 Julai - Pergantungan permit penerbitan Suara Keadilan perlu dibatalkan segera kerana ia akan menggambarkan keihklasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan pentadbiran terbuka dan sistem yang lebih toleran serta bertanggungjawab.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan yang dikenakan terhadap organ rasmi KEADILAN itu sebagai satu tindakan pilih kasih sedangkan akhbar seperti Suara Perkasa yang bersifat menghasut dan berbaur perkauman dibenarkan penerbitannya.

Beliau merujuk kepada penerbitan Suara Perkasa beberapa hari lepas dengan tajuk muka hadapannya meminta kerajaan mengambil tindakan Akta Keselamatan Negeri (ISA) terhadap Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau menyifatkan tindakan yang dikenakan terhadap Suara Keadilan merupakan satu kemenangan kepada kumpulan pelampau perkauman seperti Perkasa yang diterajui oleh pemimpinnya, Datuk Ibrahim Ali.

Katanya, penggantungan permit Suara Keadilan bercanggah dengan jaminan perdana menteri kononnya untuk mewujudkan pentadbiran telus dan terbuka, sedangkan penerbitan bersifat perkauman dan menghasut seperti Suara Perkasa dibiarkan edarannya secara meluas.

"Pergantungan permit organ KEADILAN, Suara Keadilan oleh Kementerian Dalam Negeri menggunakan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak perlu dibuat secara munasabah kerana ia bertentangan dengan ikrar Perdana Menteri untuk mewujudkan satu sistem yang lebih terbuka, toleran, telus dan bertanggungjawab dalam pentadbirannya," ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Tegasnya, memandangkan Felda telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan, adalah tidak wajar bagi pihak KDN meneruskan intimidasinya terhadap akhbar itu kerana perkara itu telah di bawa ke mahkamah.

"Satu daripada isu yang digunakan untuk menjustifikasi penggantungan Suara Keadilan ialah laporannya mengenai status kewangan Felda.

"Bagaimanapun, oleh kerana Felda telah memulakan saman RM200 juta dan tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan mengenai laporan itu, ia tidak sepatutnya menjadi asas untuk mana-mana tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri," kata Kit Siang lagi.

No comments

Powered by Blogger.