Curi pasir: Selangor hantar surat penjelasan kepada TPM

Di sekitar DUN Selangor

Jamilah Kamarudin


SHAH ALAM: Berikutan beberapa kontroversi berkaitan kegiatan curi pasir di Selangor, kerajaan Selangor telah menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjelaskan perkara ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri dalam surat tersebut menjelaskan bahawa kejadian curi pasir ini telah pun berlaku secara berleluasa sebelum tahun 2008, iaitu ketika Selangor berada dibawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional(BN).

"Saya telah menjelaskan bahawa kerajaan negeri sekarang telah membuat pelbagai usaha termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Kami berharap agar pemimpin Umno tidak hanya mengutarakan isu ini atas dasar politik dan berharap agar dokumen yang diberikan adalah memadai untuk Muhyiddin memberi arahan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak secara profesional," katanya kepada pemberita selepas sesi DUN hari ini ditangguhkan.

Khalid juga berkata pihaknya mengalu-alukan Muhyiddin dan agensi persekutuan bekerjasama memerangi jenayah ini.

"Dalam surat itu saya juga sertakan semua maklumat mengenai kegiatan curi pasir yang diperoleh oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) supaya beliau dan agensi persekutuan lain dapat membuat tindakan sewajarnya.

"Malah kerajaan negeri turut menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang menolong menangkap penjenayah yang terlibat," katanya.

Mengakui pengurusan KSSB masih lagi belum berada ditahap yang memuaskan, namun Khalid mempertahankan bahawa hasil aktiviti perlombongan pasir ini telah meningkat.

"Kerajaan negeri melalui KSSB berjaya meningkatkan hasil pasir daripada RM2.9 juta (2007) kepada RM6.3 juta (2008), RM5.4 juta (2009) dan RM10.3 juta (sebelum cukai sehingga Jun 2010).

Mengulas mengenai aktiviti perlombongan pasir di Kampung Olak Lempit, Kuala Langat dan Paya Indah Wetlands, Khalid melalui kenyataan syarikat konsultan KSSB Enviro Enhance Sdn Bhd mendakwa laporan yang dikeluarkan sebelum ini dalam media adalah tidak benar dan berniat jahat.

Ini kerana lubang yang telah digali hasil daripada perlombongan ini hanya sedalam 30 meter, dan bukannya digali sedalam 60 meter seperti yang didakwa dalam media sebelum ini.

Berikutan itu, kerajaan negeri akan mendedahkan senarai nama pemilik yang diberi lesen perlombongan pasir sebelum tahun 2008, iaitu sebelum KSSB ditubuhkan.

"Kita sebenarnya telah memantau dan menangani aktiviti perlombongan haram sejak Januari 2009 lagi..jadi bukan mudah untuk membanteras jenayah ini yang telah berlarutan sejak 30 tahun lalu dalam tempoh masa hanya dua tahun sahaja," katanya.

Salinan surat tersebut juga telah dihantar kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

No comments

Powered by Blogger.