Pemuda MCA dinasihat kuasai bahasa Melayu – Cheong Wei

Oleh Jamilah Kamarudin

Di sekitar DUN Selangor

SHAH ALAM: Pemuda MCA diingatkan agar menguasai bahasa Melayu dengan baik jika bercita-cita mahu menceburkan diri dalam bidang politik dan menjadi ahli Dewan.

Ketua Pemuda MCA Selangor Dr Kow Cheong Wei berkata, kefasihan bahasa Melayu seseorang individu itu amat penting bagi mengukur kredibiliti seseorang pemimpin dalam karier politiknya terutama dalam mengendalikan perbahasan dalam Dewan.

"Ada golongan ahli politik yang terpilih dalam pilihan raya lalu mengalami kesulitan semasa sesi perbahasan dalam Dewan. Begitu juga ketika menangani masalah kawasan terutamanya semasa berinteraksi dengan rakyat.

"Bagaimana mahu membidas dan mempertahankan hujah sendiri dalam Dewan jika bahasa Melayu anda tidak fasih?" bidas beliau.

"Jadi jika mahu menguasai selok belok politik, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah memastikan bahasa Melayu anda dapat dituturkan dengan baik dan lancar," katanya semasa sesi pertemuan antara pihaknya dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng Chang Khim di sini hari ini.

Mengambil contoh kredibiliti Teng yang boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik, Dr Kow berkata faktor itu mampu menyerlahkan kredibiliti kepimpinan seseorang apabila Teng mampu mengendalikan sesi persidangan DUN dengan baik.

"Teng seorang pembahas dan penceramah yang berkaliber. Sejak dua tahun lalu, beliau memikul tanggungjawabnya sebagau ADUN dan Speaker dengan baik," katanya.

ADUN BN dilantik Pengerusi PAC Negeri

Menilai perbezaan suasana DUN semasa Selangor berada dibawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), Dr Kow yang juga bekas ADUN Kinrara berkata, banyak perubahan positif kini dapat dilihat yang dibawa kerajaan Pakatan Rakyat termasuk penubuhan Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

"Saya melihat sesi dewan dipanjangkan, jadi semua ADUN dapat peluang membawa dan menghabiskan usul masing-masing, manakala perkara yang tidak begitu berat dipendekkan sekaligus dapat menjimatkan masa. Begitu juga dengan ADUN muda, walaupun masih ‘hijau’ tapi sudah berani dan lantang mengeluarkan hujah.

"Walaupun suasana dalam Dewan kini banyak pertengkaran, namun perkara ini masih lagi boleh dikurangkan," katanya.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan negeri melantik ADUN BN sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri selaras dengan konsep ketelusan yang diamalkan kerajaan negeri.

"Pelantikan ADUN Sungai Burung Datuk Mohd Shamsudin Lias juga menepati pendirian MCA Selangor yang mahu mengelakkan sebarang politik yang berbaur dengki, membalas dendam, dan hanya menjaga poket sendiri.

"Kita mahu satu suasana politik yang sihat. Walaupun berbeza ideologi politik, kita tetap mahu bangunkan masyarakat dan negara ini ke tahap kualiti yang lebih baik," katanya.

No comments

Powered by Blogger.