Hanya Kerajaan Pusat Pakatan Rakyat Boleh Selesaikan Masalah Warga Sabah

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM 6 Julai - Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyuarakan kebimbangan beliau terhadap peningkatan masalah sosio-ekonomi dan kemiskinan yang berlaku di Sabah dan membidas kerajaan Umno-BN Sabah yang tidak prihatin dengan nasib malang yang menimpa
warga sendiri.

Semasa berucap pada forum 'Kemelaratan Rakyat Sabah di Lembah Klang' Ahad lalu beliau berkata sudah tiba masanya untuk membincangkan isu ini bersama warga Sabah kerana ramai warga Sabah kini sedar kerajaan Umno-BN Sabah tidak langsung mengambil berat kebajikan mereka samada
di dalam mahupun di luar Sabah.

"Ini merupakan satu kesedaran kepada saya, bahawa terdapat permasalahan sebegini terutamanya terhadap warga Sabah yang telah lama ditindas.

"Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak yang membantu yang telah mengambil inisiatif mewujudkan satu jaring keselamatan, untuk membantu warga Sabah yang tidak bezanya dengan kita, di Lembah Klang, yang memerlukan bantuan," kata beliau lagi.

Tambah Dr Wan Azizah, perkara ini merupakan satu bentuk eksploitasi manusia yang dilakukan oleh manusia sendiri.

"Satu dosa yang dilakukan sepatutnya tidak berlaku, tetapi oleh kerana wang duit, mereka (agensi) melakukan penipuan sebegini," kata beliau mengulas penipuan agensi pekerjaan yang membuat janji manis membawa warga Sabah ke Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau lagi, isu ini perlu ditangani bersama-sama dan langkah pertama ialah mewujudkan kesedaran kepada rakyat.

"Kita perlu memberikan kesedaran kepada rakyat. Kesedaran merupakan titik permulaan, memberikan kesedaran kepada rakyat, bagaimana kita dapat menolong, bagaimana kita dengan niat, menyatakan komitmen bagi menangani masalah ini. ini yang kita mahu ketengahkan pada petang ini," tegas beliau.

Tambah beliau, sokongan yang ditunjukkan oleh peserta yang hadir pada forum itu merupakan satu petanda yang baik yang menunjukkan keprihatinan warga Sabah serta melambangkan pengemblengan tenaga oleh kesemua pihak dan NGO dalam menangani masalah ini.

"Eksploitasi ini merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku terutamanya terhadap kita, sesama manusia. Maka apa kita boleh buat? Kita boleh buat sesuatu kerana setiap tindakbalas itu kitalah faktornya, sama-sama mengubah. Kita di Pakatan Rakyat melihat masalah ini sebagai masalah semua. Warga sabah sama seperti kita, tidak berbeza dan keadilan juga sama, tidak berbeza.

"Sabah merupakan satu negeri yang begitu cantik, dan kaya dengan hasil semulajadi terutamanya petroleum. Bagaimana keadaan ini boleh terjadi, kemiskinan terlampau ini?" tanya Dr Wan Azizah.

Kata beliau, Pakatan Rakyat sedar akan kesusahan rakyat Sabah, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan di bawah penguasaan Umno-BN.

"Sabah menjadi begini kerana isu polisi yang ditetapkan lama dahulu oleh kerajaan Umno-BN dan hanya ada satu cara sahaja untuk menukar polisi itu, Pakatan Rakyat perlu menang dan menubuhkan kerajaan di Putrajaya," tegas Dr Wan Azizah lagi.

No comments

Powered by Blogger.