Pemuda PAS: Adakan Himpunan Bersih II sebaik Parlimen dibubar

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 6 Julai — Dewan Pemuda PAS mengesyorkan gerakan “Himpunan Bersih II” bagi mendesak pilihan raya yang adil dan bersih diadakan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-13.

Cadangan ini dikemukakan ketika banyak pihak mula bercakap mengenai kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat.

Ada yang meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung antara tiga hingga 12 bulan ini.

Mandat semasa kerajaan akan berakhir Mei 2013.

Ketua Penerangannya Suhaizan Kaiat berkata, memandangkan pilihan raya negara ini masih terdedah kepada manipulasi, maka Jawatankuasa Bersih perlu mengadakan perhimpunan tersebut sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bahawa pilihan raya umum ke-13 akan mengejutkan semua pihak seolah-olah sebagai isyarat bahawa ia akan diadakan lebih awal daripada yang sepatutnya.

“Justeru memandangkan pilihan raya negara terlalu terdedah kepada manipulasi, Jawatankuasa Bersih perlu berbuat sesuatu dengan mengadakan Himpunan Bersih II dan ia akan diadakan pada hari Sabtu terdekat selepas Perdana Menteri membubarkan Parlimen,” kata beliau dalam satu ke kenyataan hari ini.

Beliau berkata jika kerajaan tidak dapat memberi jaminan ketelusan dalam pilihan raya, maka rakyat akan berhimpunan di Istana Negara pada tarikh yang akan ditetapkan.

“Jika kerajaan tidak mahu melihat rakyat berhimpun di Istana Negara, maka kerajaan hendaklah membuang segala ruang manipulasi dalam undi pos, daftar pemilih dan pemalsuan pengundian.

“Selain itu, media mestilah memberi jaminan membuat liputan yang adil kepada semua pihak. Pemerhati antarabangsa perlu dipanggil untuk menjadi pemerhati pilihanraya di negara kita,” katanya.

Suhaizan berkata cadangan untuk mengadakan himpunan selepas pembubaran parlimen adalah yang pertama bagi memastikan pilihan raya umam nanti akan berlaku dalam keadaan demokrasi sepenuhnya.

“Apa guna pilihan raya diadakan jika pilihan raya terdedah kepada manipulasi.

“Alasan kedua Perdana Menteri perlu membetulkan sistem pilihan raya terlebih dahulu sebelum membubarkan Parlimen kerana itu yang dinamakan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

“Alasan ketiga, jika ada pihak yang mengatakan masa tersebut adalah masa sibuk maka suka saya nyatakan rakyat negara ini boleh berhimpun di Istana Negara dengan notis 48 jam memandangkan sebelum ini sudah tiga kali rakyat berhimpun secara besar-besaran bagi membantah tindakan tidak adil kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap supaya kerajaan dapat memastikan proses pilihan raya umum nanti dapat berjalan dengan adil dan saksama.

“Ini kerana rakyat berhak untuk melihat pilihan raya yang adil dan saksama kerana jika Barisan Nasional (BN) menang atau kalah mereka akan berpuas hati.

“Begitu juga dengan Pakatan Rakyat menang atau kalah mereka akan berpuas hati. Ini kerana jika ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap pilihan raya dikhuatiri keadaan politik negara tidak akan stabil dan akan merugikan rakyat,” katanya.

Cadangan agar diadakan Himpunan Bersih II ditimbulkan ketiak Muktamar Tahunan PAS dan Kongres Nasional PKR di Kota Baru akhir Mei dan awal Jun lalu.

Awal bulan lalu, Dewan Pemuda PAS membahaskan usul agar diadakan Himpunan Bersih II bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Perkara ini juga menjadi perhatian dalam Kongres Nasional Keenam PKR kira-kira dua minggu sebelum itu.

Dalam ucapan dasar pada kongres itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Pakatan Rakyat agar sekali lagi mengadakan Himpunan Bersih II untuk menjamin perjalanan pilihan raya yang adil.

“Saya juga mencadangkan kepada Pakatan Rakyat untuk merancang sekali lagi Himpunan Bersih dengan azam yang kuat menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan telus,” kata beliau.

Perhimpunan Bersih kali pertama telah digerakkan di ibu negara pada 10 Nov 2007 untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia telah dianjurkan oleh pertubuhan Bersih yang turut disertai pelbagai parti pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk menuntut pilihan raya yang adil.

Kata beliau, pengalaman semasa pilihan raya kecil selepas Mac 2008 menunjukkan SPR masih tidak berubah.

No comments

Powered by Blogger.