Hishamuddin..Puuuihhhhhh!

Hishammuddin: Suara Keadilan boleh ditutup jika ingkar

Oleh Clara Chooi


KUALA LUMPUR, 6 Julai – Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan akhbar Suara Keadilan terbitan PKR kemungkinan boleh ditutup jika ia terus diterbitkan meskipun permitnya belum diperbaharui.

Sehubungan itu kata Menteri Dalam Negeri, pihaknya bukannya bertindak tanpa munasabah dengan menahan daripada memperbaharui permit akhbar mingguan itu.

Sebaliknya Hishammuddin mendakwa Suara Keadilan “angkuh” dengan mahu terus mengeluarkan terbitannya walaupun menyedari statusnya buat masa sekarang.

“Kami akan memutuskan status permit jika isu yang sedang diteliti sekarang diselesaikan. Ia adalah satu keputusan yang adil,” kata Naib Presiden Umno ini.

Ketika ditanya sama ada akhbar itu boleh ditutup sama sekali jika terus diterbitkan esok, Hishammuddin berkata:

“Sudah tentu mereka boleh. Kami akan mengkaji tindakan mereka dan keupayaan kementerian mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya terhadap mereka.”

“Jika tidak apa gunanya mempunyai bahagian penguatkuasaan?”

Hishammuddin menyifatkan kenyataan untuk meneruskan penerbitan akhbar Suara Keadilan sebagai angkuh dan bercanggah dengan peraturan.

Kata beliau, tidak timbul isu menarik semula permit penerbitan kerana yang menjadi isu pada masa ini adalah permit akhbar itu telah tamat tempoh dan permohonan untuk menyambung semula permit belum diluluskan.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR Tian Chua semalam bahawa penerbitan akhbar itu akan diteruskan.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menjelaskan bahawa kementerian tidak mendiskriminasi mana-mana pihak mengenai isu penerbitan.

“Tidak kira Suara Keadilan, Suara Perkasa atau mana-mana media lain mesti mengikut syarat-syarat, peraturan sedia ada. Dalam konteks dasar, semua liputan termasuk majalah dan akhbar tabloid akan dipantau dengan lebih dekat,” katanya.

Semalam, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri Datuk Zaitun Ab Samad berkata, PKR perlu menanggung implikasi undang-undang sekiranya parti itu bertindak menerbitkan akhbar Suara Keadilan yang permit penerbitannya sudah tamat.

“Kalau beroperasi tanpa lesen, mereka perlu menanggung risiko dikenakan tindakan,” katanya.

Akhbar itu telah menerbitkan sebuah artikel muka depan bertajuk “Felda Bankrap”.

Pada 28 Jun, KDN memberi tempoh seminggu kepada sidang redaksi akhbar untuk memberi penjelasan mengenai artikel itu.

Zaitun sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa permit penerbitan Suara Keadilan yang dikeluarkan pada Julai tahun lepas tamat pada 30 Jun tahun ini dan dengan itu tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan mengikut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

No comments

Powered by Blogger.