Mahkamah putuskan status nikah pasangan Maya Karin esok

Muhammad Ali Abdullah atau Steven David Shorthose.

KUALA LUMPUR, 6 Julai — Pelakon Maya Karin dan pasangannya Muhammad Ali Abdullah akan mengetahui nasib mereka esok berhubung permohonan pengesahan pernikahan, yang dilangsungkan di Itali dua tahun lalu.

Difahamkan pasangan itu tetap berdepan dengan denda walaupun status pernikahan mereka diterima dan disahkan.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, seorang pegawai Mahkamah Rendah Syariah berkata, hukuman tersebut kemungkinan akan dilaksanakan terhadap pasangan tersebut kerana telah melanggar Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 berhubung kesalahan lewat mendaftar perkahwinan.

“Kalau status perkahwinan mereka tidak sah maknanya mereka terpaksa bernikah semula.

“Sekiranya sah, mereka juga akan berdepan dengan tindakan undang-undang atas kesalahan lewat mendaftar perkahwinan mereka yang berlangsung di Itali dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata mengikut undang-undang keluarga Islam sesiapa yang berkahwin di luar negara perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk.

“Ini kerana undang-undang keluarga Islam juga menyebut pasangan yang berkahwin di luar negara perlu mendaftarkan perkahwinan mereka dalam tempoh enam bulan dari tarikh mereka kembali ke Wilayah Persekutuan.

“Jadi dalam kes Maya dan Muhammad Ali, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya atas kesalahan itu,” katanya.

Maya Karin, yang sejak akhir tahun lalu dikaitkan dengan desas-desus masalah rumah tangga, muncul di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 24 Jun lalu untuk membuat pengesahan nikah selepas dua tahun berkahwin dengan Muhammad Ali atau nama asalnya Steven David Shorthose.

Mereka dikatakan berbuat demikian bagi membolehkan proses cerai kelak.

Pasangan itu berkahwin pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali.

Dalam pada itu sumber yang rapat dekat dengan pasangan tersebut memberitahu, keputusan permohonan akan diketahui petang esok.

“Keputusan akan diketahui. Selepas keputusan dikeluarkan esok, mereka akan membuat permohonan untuk bercerai... sama ada Maya Karin atau suaminya akan membuat permohonan cerai, belum tahu lagi,” kata sumber itu.

Sehari selepas muncul di mahkamah, Muhammad Ali mengesahkan pasangan tersebut sedang menuju proses mengakhiri rumah tangga mereka dengan usaha mendaftar penikahan berusia dua tahun adalah langkah awal.

Muhammad Ali memberitahu, oleh kerana pernikahan mereka yang berlangsung dua tahun lalu di Itali belum didaftarkan lagi, maka ia perlu disahkan sebelum mereka boleh bercerai secara rasmi.

No comments

Powered by Blogger.