Harakah terbit semula Isnin, skop liputan tidak berubah

Oleh G. Manimaran

Datuk Mustafa Ali menunjukkan surat makluman pembaharuan permit yang diterima daripada Kementerian Dalan Negeri pada sidang media hari ini. — Gambar oleh Jack Ooi

TERKINI

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Akhbar dwimingguan PAS, Harakah akan kembali berada di pasaran minggu depan ekoran pembaharuan permit penerbitan yang diterima semalam dengan skop liputan seperti sediakala — mengetengahkan isu-isu semasa.

“Tiada syarat mengenai soal liputan, tidak disebutkan. Tidak seperti dalam kes Suara Keadilan,” kata Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah Datuk Mustafa Ali pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Bagaimanapun akhbar itu tidak diterbitkan hari ini kerana notis pembaharuan permit hanya diperoleh semalam, kata Mustafa yang juga Setiausaha Agung PAS.

Sebagai akhbar dwimingguan Harakah menemui pembacanya setiap Isnin dan Jumaat dengan edaran dalam lingkingan 100,000 naskhah setiap edisi.

“Ia terlepas satu keluaran, edisi hari ini,” kata Mustafa.

Mengenai aspek pengedaran yang dihadkan kepada ahli-ahli PAS sahaja, Mustafa berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan para pengedar petang ini.

“Kami akan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh kementerian, tetapi kadangkala sukar untuk mengenal pasti siapa ahli dan siapa bukan ahli. Kami menganggap sesiapa yang membeli Harakah sebagai ahli PAS... bagaimanapun kami akan berbincang dengan pengedar dan akan menasihatkan mereka,” katanya.

Pengurusan Harakah menerima notis pembaharuan permit daripada Kementerian Dalam Negeri semalam.

Laporan media semalam menyebut Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan lidah rasmi PAS itu dengan memberi amaran keras supaya ia hanya dijual di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja.

Permit penerbitan akhbar itu tamat pada 7 Julai lepas.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks Al-Quran kementerian itu Datuk Zaitun Ab Samad berkata keputusan untuk memperbaharui permit penerbitan Harakah dibuat setelah Kementerian Dalam Negeri berpuas hati dengan kerjasama, penjelasan dan janji pihak pengurusan Harakah untuk mematuhi syarat-syarat permit penerbitan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Zaitun berkata pihak Harakah juga telah menjawab surat tunjuk sebab pada 13 Julai lalu dengan membuat akujanji akan mematuhi syarat-syarat permit penerbitan seperti mencetak perkataan “Untuk Ahli Sahaja” dan menghantar lapan naskhah setiap keluaran Harakah kepada kementerian sebaik sahaja ia dicetak.

Ketika ditanya mengenai syarat bahawa Harakah hanya boleh diedarkan di markas parti, Mustafa berkata, istilah markas dan pejabat parti sukar untuk ditafsir.

“Masjid-masjid dan juga rumah ahli parti juga boleh dianggap sebagai pejabat parti... kawasan berdekatan dengan masjid juga boleh dianggap sebagai pejabat parti,” katanya.

Mustafa juga berkata, pihaknya akan membekalkan lapan naskhah Harakah setiap keluaran kepada Kementerian Dalam Negeri sebaik sahaja ia selesai dicetak, tidak kira pukul berapa pun.

“Dulu, untuk edaran Jumaat kami akan selesai cetak malam hari Rabu dan hanya akan mengemukakan naskhah rujukan kepada Kementerian Dalam Negeri pada keesokan hari iaitu Khamis.

“Tetapi Kementerian Dalam Negeri mahu naskhah ini dibekalkan pada hari ia dicetak, jadi selepas ini jika Harakah siap dicetak pada pukul 6 petang, pukul 6 petang juga kami akan hantar, kalau pukul 7 malam, pukul 7 malam juga kami akan hantar... kementerian kata akan ada pegawai yang menunggu,” katanya.

Mustapa berkata, pihaknya tidak mahu ‘memulau’ penerbitan Harakah kerana dua lagi organ iaitu Rocket terbitan DAP dan Suara Keadilan masih belum mendapat permit.

“Kami menggesa kerajaan turut meluluskan permit untuk Rocket dan juga Suara Keadilan... keputusan Pakatan Rakyat hari itu ialah menghentikan satu keluaran sehingga minggu depan, sehingga pemimpin Pakatan Rakyat menemui Kementerian Dalam Negeri dan kini sudah ada permit untuk Harakah, maka PAS hendak meneruskan penerbitan.

“Sekurang-kurangnya kami ada satu akhbar untuk Pakatan Rakyat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.