Maya Karin, suaminya sah cerai talak satu

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 16 Julai — Pelakon dan pengacara TV terkenal Maya Karin dan suaminya Muhammad Ali Abdullah hari ini secara rasminya bercerai dengan talak satu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Mohd Amran Mat Zain.

Menurut sumber terdekat pasangan tersebut hadir ke mahkamah hari ini adalah untuk bercerai.

“Maya (gambar, kiri) dan suaminya datang untuk membuat permohonan penceraian dan mereka secara rasminya bercerai dengan talak satu hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kedua-dua mereka enggan komen.

“Hari ini adalah hari yang sedih tapi saya lega.

“Maaf saya tidak boleh cakap apa-apa,” kata Muhammad Ali atau nama asalnya Steven David Shorthose.

Maya yang sejak akhir tahun lalu dikaitkan dengan desas-desus masalah rumah tangga, muncul di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini untuk membuat permohonan penceraian.

Pasangan itu berkahwin pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali.

“Minta maaf saya seperti biasa tidak boleh cakap apa-apa mengenai perkara ini.

“Bila sampai waktunya nanti saya akan beritahu. Kalau nak tahu apa-apa mengenai perkara ini boleh hubungi pengurus saya esok,” kata Maya kepada The Malaysian Insider sebelum meninggalkan mahkamah.

Pasangan itu hadir secara berasingan di mahkamah.

Muhammad Ali tiba di mahkamah kira-kira 2 petang manakala Maya yang berbaju kurung dan bertudung tiba kira-kira 3 petang.

Maya yang kini merupakan duta baru tilam Vono dan Muhammad Ali, seorang guru matematik di sebuah sekolah antarabangsa di Seri Kembangan, bernikah pada 14 Ogos 2008 selepas tujuh tahun bercinta.

Perkahwinan mereka berlangsung dalam suasana romantis di tepi Tasik Como, Bellagio, Itali dan disusuli majlis resepsi di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Kepong pada 26 Ogos tahun sama.

Awal bulan ini Mahkamah Rendah Syariah telah mengesahkan pernikahan mereka selepas dua tahun berlangsung.

No comments

Powered by Blogger.