Hasil Felda setara firma lain tapi keuntungan tidak

Oleh Lee Wei Lian

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Felda Holdings Berhad, salah satu syarikat perladangan terbesar di dunia yang kini menguruskan 500,000 hektar kebanyakannya kelapa sawit, masih jauh dari segi keuntungan yang dicatatkan berbanding pemain-pemain utama.

Meskipun hasilnya sedikit lebih daripada tanda aras industri, tetapi keuntungan mereka cuma sebahagian kecil yang diperoleh syarikat-syarikat utama kelapa sawit.

Bulan lalu kerajaan mengakui simpanan tunai Felda telah merosot sehingga RM1.35 bilion berbanding RM4.08 bilion pada 2004, tetapi mendakwa dana itu digunakan untuk pelaburan baru dan untuk mendirikan bangunan ibu pejabat yang baru.

Meskipun memiliki sebahagian tanah di bawah pengurusan, penelitian The Malaysian Insider menunjukkan keuntungan Felda adalah sebanyak RM667 juta, di mana ia masih rendah berbanding prestasi IOI Corporation Berhad yang mencatatkan RM1.639 bilion, Sime Darby Berhad (RM1.795 bilion) dan Wilmar International Ltd (RM7.339 bilion).

Dari segi nisbah euntungan bagi setiap hektar, Felda mencatatkan RM1,201 berbanding RM10,859 yang diperoleh IOI, RM3,380 (Sime Darby) dan RM31,124 pihak Wilmar.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Felda berkata kedudukan itu tidak boleh dibandingkan dengan syarikat-syarikat yang disenaraikan memandangkan ia mempunyai tanggungjawab sosial dan matlamat asalnya mahu membantu rakyat miskin.

Bagaimanapun Felda mempertahankan ia masih mengeluarkan hasil yang tinggi berbanding syarikat-syarikat lain.

“Hasil kami setara ataupun lebih tinggi berbanding purata industri,” kata Felda dalam jawapan bertulis kepada The Malaysian Insider.

Hasil keluaran Felda sebanyak 19.8 tan bagi satu hektar sedikit lebih tinggi berbanding purata Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2009 sebanyak 19.2 dan sedikit rendah jika dibandingkan dengan Sime Darby (20.6) dan Wilmar (20.2).

Menurut penganalisis, adalah sukar bagi Felda untuk mencapai tahap hasilan baik kerana kebanyakan tanah di bawah pengurusannya dimiliki oleh peneroka individu dan oleh itu, ia kelihatan berselerak.

Seorang penganalsis bagaimanapun berkata, Felda masih perlu efisien untuk menghasilkan pulangan lebih baik agar dana boleh dilabur semula manakala pemegang saham termasuk peneroka-peneroka Felda boleh memperoleh dividen lebih baik.

“Lihat pada Petronas, mereka berorientasikan keuntungan,” kata penganalisis ini.

Keuntungan syarikat boleh terjejas disebabkan kos.

Felda tidak memberi maklumat mengenai kos walaupun diminta The Malaysian Insider.

Malah Felda berkata, ia tidak memasukkan aspek tersebut dalam laporan tahunan memandangkan ia bukan syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia.

Bagaimanapun bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr Tan Kee Kwong yang kritis berhubung cara pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengendalikan Felda berkata, sebagai syarikat berhubung kait dengan kerajaan, Felda harus mengeluarkan laporan tahunan bagi mencerminkan aspek akauntabiliti mereka.

“Ia syarikat berhubung kait dengan kerajaan dan ia milik rakyat,” kata beliau ketika dihubungi.

Pemegang saham terbesar Felda adalah Koperasi Permodalan Felda yang menguasai 51 peratus saham dalam syarikat itu. Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (Felda Global), subsidiari Felda mempunyai baki 49 peratus saham.

Pengurusan Felda mengugut untuk menyaman akhbar mingguan PKR, Suara Keadilan dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dengan menuntut RM200 juta kerana mendakwa Felda boleh bankrap.

No comments

Powered by Blogger.