Umno-BN Kini Amat Takut Penyelewengan Dalam Felda Terus Terbongkar

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 15 Julai - Umno-Barisan Nasional berada kini dalam keadaan yang amat tertekan apabila warga peneroka seluruh negara mula mempersoalkan ketelusan pihak pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ekoran pendedahan dakwaan penyelewengan dan salah urus tadbir oleh Suara Keadilan dan Harakah.

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata kebanyakan pimpinan Umno-BN di peringkat akar umbi sendiri turut gusar, kerana dibimbangi lebih banyak lagi isu berkenaan Felda akan dibongkar.

"Isu Felda kini telah menjadi isu nasional yang paling hangat. Inilah pertama kalinya dalam sejarah dimana kewibawaan pimpinan Barisan Nasional tergugat. Mereka berusaha untuk menutup isu ini, tetapi tidak boleh.

Bila pimpinan Umno-BN diajak berdebat, mereka tidak mahu. Dari sudut lain, integriti Felda itu sendiri dipersoal," katanya.

Beliau bersama-sama peneroka Felda dari seluruh negara membuat laporan berkenaan penyelewengan Felda ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabatnya di Putrajaya pada pukul 11 pagi tadi.

"Setelah laporan polis dibuat berkenaan penyusutan rizab tunai Felda, jadi sekarang kita akan hantar laporan dan dokumen kepada SPRM, beserta dengan lampiran- lampiran tambahan berkenaan isu-isu yang berkait rapat dengan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan penyelewengan di dalam pengurusan Felda," katanya.

Mazlan menjelaskan peneroka dan generasi kedua Felda dari Kedah, Pahang dan Johor akan turut bersama-sama memberikan sokongan kepada langkah yang diambil oleh Anak.

Beliau turut memaklumkan laporan susulan kepada SPRM berkenaan isu yang sama di setiap negeri akan turut dilakukan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan memaklumkan sambutan terhadap program yang dianjurkan oleh Anak di setiap tanah rancangan yang dikunjungi, mendapat sambutan yang hangat.

Terbaru, program Anak di Felda Keratong 3, Pahang yang turut disertai oleh mantan Timbalan Menteri Tanah Dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong, dihadiri oleh ribuan warga peneroka.

Dalam pada itu, beliau bersama Anak dan masyarakat Felda akan terus menjalankan program bagi memberikan penerangan kepada rakyat Malaysia dan warga Felda berkenaan isu-isu terkini dan hak-hak peneroka, dari masa ke semasa.

No comments

Powered by Blogger.