Pemikiran Muhyiddin Bercanggah Dengan 1Malaysia Najib

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 15 Julai - Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang bercanggah berhubung cadangan untuk menubuhkan pertubuhan bagi setiap kaum yang menyerupai Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menunjukkan wujud kelompok yang menentang gagasan 1Malaysia dalam Kabinet Pernana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berkata beliau terkejut dengan kenyataan Muhyiddin yang bertentangan dengan polisi 1Malaysia yang sepatutnya menyatukan semua kaum tetapi apa yang berlaku, Muhyiddin pula dilihat cuba meniup api perkauman.

"Nampaknya selepas 53 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan polisi 1Malaysia masih wujud dua pandangan berbeza mengenai hubungan antara kaum.

"Dalam hal ini, saya sangat bersetuju dengan Nazri yang menolak cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim untuk menubuhkan Perkasa versi Cina bagi mengimbangi Perkasa tajaan Ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali.

"Cadangan itu tidak masuk akal kerana ia hanya akan menimbulkan ketegangan di antara Melayu dan Cina," katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke.

Apa yang paling mengejutkan kata Ketua Parlimen DAP itu, cadangan mengarut Donald Lim untuk menubuhkan NGO seperti Perkasa untuk semua kaum telah mendapat restu daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno yang menyokong cadangan tersebut.

Namun, nada yang berbeza pula disuarakan Nazri yang menyifatkan cadangan itu sebagai mengarut.Kit Siang juga berkata, kenyataan Muhyiddin langsung tidak selaras dengan konsep 1Malaysia yang diwar warkan Najib, sebaliknya menggambarkan seolah-olah beliau menentang konsep 1Malaysia.

"Muhyiddin telah mengesahkan bahawa beliaulah yang melawan konsep 1Malaysia, seperti sebelum ini secara terbuka menyatakan bahawa beliau adalah 1Melayu dan kedua Malaysia," kata beliau lagi.

Ujarnya, kerajaan dilihat keliru dan sering mempunyai percanggahan pendapat yang dianggap mengarut berhubung isu melibatkan kaum.

1 comment

m6hidrogen said...

Saidina Umar al-Khatab, "Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Apabila kita cari kemuliaan selain dari Islam, Allah pasti hinakan kita!"...

Powered by Blogger.