JPM Lambat Ambil Tindakan Kes Kematian PTD

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 15 Julai - Kerajaan perlu mendedahkan laporan siasatan dalaman Jabatan Perkhidmatan Awam kepada umum berhubung tragedi yang meragut nyawa seorang Pegawai Tadbir Diplomatik, Norhashimah Wahid semasa mengikuti modul latihan sebagai prasyarat pengesahan jawatan pada 31 Mei lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata Jabatan Perdana Menteri wajib memastikan pihak bertanggungjawab dalam tragedi itu diambil tindakan serta-merta.

"Tindakan susulan pihak berwajib iaitu JPM yang mengawal selia JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Intan (Institut Tadbiran Awam Negara) amat dituntut memandangkan kebajikan seluruh pegawai tadbir dan diplomatik yang mengikuti modul latihan bergantung kepada kursus yang menepati tahap piawaian tertentu.

"Respon menteri yang bertanggungjawab juga amat mengecewakan kerana tidak menjawab persoalan pokok serta mengelak daripada menjelaskan peranan jurulatih sendiri yang tidak dikenakan tindakan langsung berbeza dengan tindakan terhadap enam pegawai kerajaan yang telah ditukar," kata Nurul Izzah pada sidang media di parlimen semalam.

Beliau menggesa tindakan lain termasuk perancangan prosedur operasi standar (SOP) yang lebih terperinci bagi modul latihan termasuk mengkaji semula modul fizikal sedia ada.

Katanya lagi, menerusi carian laman web, beliau mendapati secara amnya, semua pelatih Diploma Perkhidmatan Awam menjalani program yang dikenali sebagai Outward Bound School (OBS) tetapi selepas kerajaan Umno-Barisan Nasional melaksanakan potongan belanjawan dalam sektor tertentu, program OBS turut menjadi korban dan digantikan dengan latihan kendalian kontraktor pelatih persendirian.

"Carian saya mendapati syarikat Tuntas Consultancy Sdn Bhd telah diberikan kontrak menguruskan sepenuhnya latihan bertempat di Akademi Latihan Inovasi dan Motivasi (ALIM).

"Syarikat ini dimiliki oleh dua anak bekas Ahli Parlimen Kuala Langat yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Salleh menerusi pegangan saham. Apakah kaitan sebegini memungkinkan syarikat tersebut terlepas daripada hukuman serta tindakan oleh pihak kerajaan?.

"Kerajaan wajib menjawab samada kontrak itu diberikan kepada syarikat tersebut dan apa rasionalnya pemberian tersebut?," soalnya lagi.

Nurul Izzah turut mempersoalkan mengapa tidak ada tindakan keras yang pihak yang berwajib termasuk pelatih syarikat terlibat dan hanya mengkambing-hitamkan pegawai kerajaan yang terlibat dalam tragedi itu.

No comments

Powered by Blogger.