Isu pasir: Selangor ambil tindakan baru

Di sekitar DUN Selangor

Oleh Qayum Rahman

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kerajaan negeri sedang mengambil beberapa tindakan baru untuk mengatasi masalah pelombongan pasir secara haram di negeri Selangor.

Menurutnya, kecurian pasir yang berlaku di Selangor amatlah berleluasa sehingga menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian hampir RM30 juta setahun.

Beliau berkata, justeru itu kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa bertindak melibatkan para pegawai daerah di seluruh negeri untuk memantau dan mengawal aktiviti pencurian pasir.

"Setiausaha kerajaan negeri mengadakan mesyuarat secara berterusan setiap minggu bersama pegawai daerah yang berkaitan untuk menangani kecurian pasir," katanya.

"Saya percaya kerajaan negeri dapat mengembalikan royalti keuntungan pasir dengan segera supaya tidak merugikan kerajaan negeri dan semua pihak termasuk rakyat," katanya ketika di Sidang DUN Selangor hari ini.

Unjur untung RM36 juta setahun

Khalid berkata, kerajaan negeri mengeluarkan lesen untuk pengeluaran pasir sebanyak 800 tan hingga 1 juta tan setahun di mana keuntungan sebanyak RM36 juta setahun boleh dicapai.

Bagaimanapun, syarikat-syarikat yang diberi lesen untuk melombong pasir telah gagal membuat bayaran kepada kerajaan negeri hingga menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian.

Tambah beliau, pada tahun 2006, kerajaan negeri hanya berjaya mendapat kutipan royalti pasir sebanyak RM4.7 juta manakala tahun 2007 sebanyak RM4.2 juta sahaja.

"Jumlah kutipan yang sedikit ini terjadi kerana berlaku kejadian kecurian pasir di banyak kawasan yang tidak dapat dikesan.

"Apabila pegawai kerajaan terlibat dan bekerjasama dengan kumpulan samseng yang menguasai sindiket pasir di Selangor, ia menyebabkan perancangan kerajaan negeri terbantut," jelas beliau.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan keuntungan royalti 70 hingga 80 peratus untuk kembali pulih dalam mengutip keuntungan dari industri pasir di Selangor.

Khalid juga berkata, kerjasama dari NGO-NGO, Penghulu Kampung serta orang awam telah membantu kerajaan negeri dalam mengesan kecurian pasir supaya tindakan segera dapat diambil.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Sungai Burung Datuk Mohd Shamsudin bin Haji Alias mengenai tindakan kerajaan negeri menangani isu kecurian pasir di Selangor.

http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=6190

No comments

Powered by Blogger.