UMNO Kedah tunggu laporan kecoh Sg. Petani

KULIM 12 Julai - Badan Perhubungan UMNO Kedah akan mendapatkan laporan penuh daripada wakil pemantaunya mengenai kekecohan yang berlaku pada mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani semalam.

Timbalan pengerusinya, Datuk Paduka Ahmad Bashah Mohd. Hanipah berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan atau membuat cadangan berdasarkan laporan akhbar.

"Perhubungan negeri akan menunggu laporan rasmi yang lengkap dan selepas itu akan membuat keputusan mengenainya,” katanya apabila diminta mengulas kejadian tersebut.

Akhbar hari ini melaporkan mesyuarat yang berlangsung di Sungai Petani Inn itu menjadi kecoh apabila sekumpulan anggota perwakilan termasuk Wanita yang tidak berpuas hati dengan ketua bahagian, Ali Yahaya, bangun dan secara terbuka meminta beliau melepaskan jawatan dan menghalang beliau daripada berucap.

Ahmad Bashah berkata, UMNO negeri dukacita dengan kejadian itu dan berharap kejadian seumpama itu tidak berulang di tempat lain. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.