Isu perjawatan sukar ditangani selagi JPA amal budaya kroni

SAYA menyokong penuh saranan dibuat oleh Rusdee dan Pegawai Senior dalam ruangan Surat & E-mel seperti tersiar dalam Berita Harian, Isnin 12 Julai 2010.

Apa yang dimaksudkan penulis berkenaan ialah supaya Bahagian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat menyusun semula prosedur kenaikan pangkat supaya kelihatan telus dan benar-benar adil. Memang tidak dinafikan sistem pengurusan kenaikan pangkat di JPA adalah lembab dan tidak profesional. Meskipun dikritik beberapa kali oleh Persatuan Pegawai Tadbir Am (PERTAM) dalam era 80-an dan 90-an tetapi tiada perubahan drastik dapat dilakukan JPA

Pegawai yang diamanahkan menjaga kemajuan kerjaya dan kenaikan pangkat di JPA sering berubah-ubah kerana ditukarkan dan pegawai baru yang mengambilalih Unit Kenaikan Pangkat dan Kemajuan Kerjaya di JPA boleh melakukan kesilapan sama dan berulang dalam memperaku mana-mana pegawai lebih layak dinaikkan pangkat. Tidak hairan ramai pegawai senior tersisih dan terbuang daripada senarai kenaikan pangkat asal, manakala pegawai junior ditampilkan dengan versi bagus tetapi sedikit mengabui atau meragukan dengan cuba menonjolkan bakat, kebolehan, potensi, prestasi dan kepakaran pegawai baru lebih baik dari pegawai lama.

Apa yang membimbangkan peranan Ketua Jabatan itu sendiri memperaku dan menaikkan pangkat golongan junior ini yang menguntungkan mereka, dilihat satu pengkhianatan kepada cadangan penambahbaikkan sistem perjawatan awam. Penjawat awam senior sengaja dinafikan kenaikan pangkat apabila Pegawai Penilai Pertama cuba mengatur markah seseorang Pegawai Yang Dinilai mengikut pertimbangan muslihatnya, bukannya berdasarkan ketelusan atau pertimbangan adil.

Adalah tidak mustahil bagi JPA apabila pernah memperakukan seorang penjawat awam gred 48 terus ke Jusa C tanpa terlebih dulu memangku gred 52 dan 54. Ini boleh berlaku jika penjawat awam ini kenalan rapat kepada ketua di JPA. Kalau dilihat banyak perjawatan masih kosong di semua bahagian dan unit di JPA tidak diisi dengan orang luar. Pernah diberitahu kepada kami, jawatan ini disimpan untuk pegawai JPA yang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan PhD di luar negara. Maknanya sesetengah jawatan penting di JPA akan dimonopoli dan diisi pegawai JPA sendiri.


Inilah buruknya sistem perjawatan di JPA. Segala keburukan dan sistem lapuk di JPA tidak pernah berubah sejak dua dekad lalu. Kini sudah masanya sistem perjawatan awam di JPA dan di semua kementerian serta jabatan disusun semula.
Pesara PTD M52,
Seremban

No comments

Powered by Blogger.