Isu Warga Afrika, Ahli Parlimen Turun Padang

Oleh IZRA ABD RAHMAN

http://mstar.com.my/archives/2010/7/12/mstar_manusia_peristiwa/PortLepak.jpg


Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (dua dari kiri) ketika bertemu penduduk dan melawat 'port' lepak kumpulan warga Afrika di Taman Wawasan, Puchong. Kumpulan terbabit dikatakan sering menimbulkan kekacauan dan menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan penduduk setempat.

PUCHONG: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang ditemui Mingguan mStar ketika melawat kawasan terbabit mengakui kedudukan Puchong yang strategik, dekat dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menjadi faktor utama kemasukan warga asing, terutama dari Afrika ke kawasan yang sedang pesat membangun itu.

Menganggap isu warga asing bukan sebagai isu baru, beliau bagaimanapun mengakui banyak menerima aduan daripada penduduk berkenaan aktiviti kumpulan warga asing dari Afrika yang dikatakan mengganggu ketenteraman sejagat.

Jelasnya, masalah sebegini timbul kerana berlaku pertembungan budaya masyarakat di Malaysia dengan budaya yang dibawa masuk oleh warga asing dari Afrika.

“Sebenarnya dari dulu lagi kawasan Puchong menjadi tumpuan warga asing. Cuma sejak kebelakangan saya lihat warga asing dari Afrika semakin ramai dan mereka memilih untuk tinggal di Puchong. Saya juga mendapat tahu yang mereka ini membuka restoran menjual makanan Afrika.

“Saya pernah bertemu dan pergi ke restoran mereka. Apa yang saya dapat katakan, bukan semua mereka ini tak baik dan berniat jahat masuk ke sini.

“Cuma, rakyat kita tak dapat menerima budaya dan cara hidup mereka. Masyarakat kita tak biasa dengan aktiviti minum minuman keras secara terbuka, mabuk dan kemudiannya bergaduh yang sebenarnya sudah jadi kebiasaan bagi mereka,” katanya.

Namun, memandangkan kumpulan ini sering melakukan aktiviti dan tindakan hingga ke tahap menakutkan orang ramai dan menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan penduduk, Gobind mengambil langkah untuk menyelesaikan isu ini secara adil, seimbang dan praktikal.

Jelasnya, adalah tidak wajar untuk menyalahkan seluruh warga Afrika apabila isu ini dibangkitkan, sebaliknya isu ini perlu dikaji semula sambil pihak berkuasa terus mengawasi pergerakan kumpulan terbabit.

Mengamalkan prinsip dan sikap terbuka terhadap sesiapa sahaja yang memilih untuk masuk atau tinggal di Puchong, menghalang atau menyekat kemasukan warga asing dilihat beliau bukanlah jalan terbaik.

“Dalam masa yang sama, kita tak boleh ketepikan isu ini. Kita kena sama-sama menyelesaikannya.

“Kita tak boleh halang mereka daripada belajar di sini. Kalau bagi mereka pusat pengajian di sini adalah yang terbaik, ia tak jadi masalah. Kita juga tak boleh halang mereka buka restoran di tempat kita.

“Apa yang boleh dilakukan ialah pihak berkuasa perlu mengawasi aktiviti kumpulan ini secara serius dan berterusan,” katanya.Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) misalnya perlu melihat kembali punca berlakunya masalah ini dan mengkaji semula syarat kemasukan warga asing ke sini.

“Kalau mereka (warga Afrika) datang atas permit pelajar, cuba kaji semula sama ada pengeluaran permit itu dibuat dengan cukup ketat atau sebaliknya sebab saya lihat ramai di antara mereka menggunakan status pelajar untuk tinggal di sini.

“Secara kasar, mereka ini kita lihat tidak menunjukkan ciri-ciri seperti seorang pelajar, sebaliknya sering berkumpul sesama sendiri, seolah-olah mempunyai urusan lain.

“Hal inilah yang menimbulkan syak di kalangan penduduk dan seterusnya membuatkan mereka berasa takut dengan kumpulan terbabit. Tetapi, kita harus ingat bahawa ada juga yang betul-betul datang ke sini untuk belajar,” katanya.

Selain itu, pihak IPT juga patut memantau dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani kemelut ini.

Tidak dinafikan kemasukan warga asing untuk belajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) memberi keuntungan besar kepada pihak berkenaan namun, pihak IPT juga perlu bertanggungjawab terhadap isu-isu sampingan yang melibatkan pelajar mereka hingga membawa ke tahap memudaratkan masyarakat.

“Saya setuju ia adalah satu bisnes, tetapi kalau pelajar mereka sekadar mendaftarkan diri sebagai pelajar dan banyak menghabiskan masa dengan berkeliaran, pihak IPT perlu mengambil tindakan. IPT juga perlu prihatin terhadap masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa pihak polis juga memainkan peranan penting dalam usaha menangani isu ini dengan membuat rondaan yang lebih kerap di kawasan-kawasan yang sering dikunjungi kumpulan warga asing terbabit.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan polis, malah polis juga sedar kewujudan dan aktiviti tidak senonoh kumpulan ini.

“Mereka (polis) pun buat kerja mereka, mereka ada buat rondaan. Cuma kadang-kadang mereka ada masalah tidak cukup kakitangan, selain perlu berdepan dengan kes-kes jenayah lain.

“Apa yang boleh dilakukan, sesiapa yang diganggu atau mengesyaki sesuatu terhadap kumpulan ini, mereka segeralah membuat laporan polis,” katanya.

Menganggap usaha menyelesaikan isu ini merupakan satu cabaran besar kepada pihak polis, beliau yakin polis dapat sama-sama mencari jalan keluar dari permasalahan ini.

Seterusnya, Gobind merayu kepada penduduk di Puchong mengambil bahagian dalam apa jua kempen komuniti dan keselamatan yang dianjurkan polis, Rakan Cop dan sebagainya.

“Kepada mereka yang ada masalah berhubung isu ini, silalah hubungi saya supaya saya dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Mengulas isu penjualan arak secara terbuka oleh sebuah premis berdekatan Taman Wawasan, yang dikatakan menjadi punca dan kepada kumpulan ‘Mat Afrika’ untuk terus berkumpul di kawasan itu, beliau menyeru kepada PBT supaya melihat kembali isu ini dengan lebih terperinci dan membuat pertimbangan yang sewajarnya.

No comments

Powered by Blogger.