Jabatan Perdana Menteri Sendiri BOROS!

RM12 Bilion Bajet Untuk JPM Sahaja

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 18 Julai - Disaat rakyat menanggung beban subsidi dengan kenaikan harga minyak, kerajaan pula sewenangnya boros menguruskan perbelanjaan tanpa mengetahui kesan kepada ekonomi negara dan rakyat keseluruhan.

Terbaru, kerajaan dilaporkan memperuntukkan sebanyak RM12 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri, yang merupakan sepuluh kali ganda dengan perbelanjaan kerajaan Negeri Selangor pada 2010.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, dalam tulisannya di laman The Malaysian Insider mendedahkan keborosan kerajaan membelanjakan jumlah sebanyak RM12 bilion bagi JPM dan bukannya RM4 bilion seperti yang dijelaskan menterinya, Datuk Seri Nazri Aziz.

Pada 15 Julai lalu, Nazri ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming mengenai perbelanjaan mengurus JPM dari 2003 hingga 2010 menyatakan sebanyak RM3.9 billion diperuntukkan kepada JPM untuk perbelanjaan operasi pada 2010, di mana peruntukan itu melebihi sekali ganda daripada 2003.

Nazri berkata, peruntukan untuk JPM dikatakan meningkat kerana pertambahan agensi di bawah pentadbirannya seperti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi, dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Kos itu juga bagi menampung seramai 43,544 orang kakitangan.

Bagaimanapun Chin Tong mendakwa Nazri tidak memberikan satu lagi maklumat mengenai perbelanjaan pembangunan oleh JPM.

"Di bawah satu kategori berasingan iaitu pembangunan, JPM menerima RM 8.238 bilion. Maka, jumlah belanjawan untuk JPM pada 2010 ialah RM12.1 bilion, seperti didedahkan oleh perbelanjaan persekutuan," tegas Chin Tong.

"Dalam keseluruhan tempoh Rancangan Malaysia ke lapan (2001-2005), belanjawan pembangunan JPM ialah RM7.2 bilion, atau 4.3 peratus dari peruntukan. Ini bermaksud peruntukan pembangunan untuk 2010 sahaja (RM 8.2 bilion) mengatasi jumlah peruntukkan bagi lima tahun pertama," katanya lagi.

Jelas beliau, peningkatan besar bajet JPM pada 2009 dan 2010 tidak pernah berlaku sebelum ini di mana jumlah perbelanjaan operasi dan pembangunan untuk 2009 ialah RM14 bilion; hampir sekali ganda RM7.1 bilion diperuntukkan bagi 2008. Sekiranya dibuat perbandingan, jumlah perbelanjaan untuk 2005 hanya RM4.1 bilion.

"Satu lagi boleh dilihat ialah belanjawan pembangunan untuk 2009 (RM10 bilion) adalah lima kali daripada 2005 (RM2 bilion) manakala dalam 2010 (RM8.2 bilion), ialah empat kali daripada tahun asas,"katanya.

Menurut Chin Tong, kerajaan Malaysia terlalu menumpukan kepada Jabatan Perdana Menteri sehingga terdapat lima menteri penuh di jabatan itu dan kira-kira 45 agensi di bawahnya.

Tambah beliau, akibatnya jabatan itu kini dibebani dengan pelbagai agensi-agensi yang dilihat tidak praktikal di bawah jabatan itu.

"Beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Hak Asasi, Biro Aduan Awam, dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sepatutnya diletakkan di bawah bidang kuasa parlimen,"katanya.

No comments

Powered by Blogger.