Warga kerja Selangor perlu telus: MB

SHAH ALAM, 19 Jul – Kerajaan Negeri meminta warga kerja Selangor memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya dalam menjalankan tanggungjawap masing-masing terhadap pelanggan.

Menteri Besar , Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pegawai-pegawai Selangor perlu memahami tugasan mereka dan saling bantu membantu antara satu sama lain bagi memperkasakan sesebuah pentadbiran yang diterajui mereka.

“Harapan saya ialah perkara-perkara perlu diperbincangkan bersama supaya tidak jadi satu keadaan di mana ahli majlis dan warga kerja sama-sama faham tentang tugas mereka.

“Saya berharap ini adalah agenda terpenting dakan usaha pembangunan negeri Selangor kerana persefahaman dalam pentadbiran memang biasa, agenda pertama ialah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 700 kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Dewan Jubli Perak pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor di sini pagi tadi.

Dalam ucapannya beliau menyentuh tentang kejayaan MPS setakat ini dan memberitahu MPS berjaya membuat kutipan melebihi RM120 juta untuk pelbagai cukai di daerah itu.

“Selayang mempunyai lebih daripada 700 pekerja dan keluasannya luas merangkumi daerah Gombak dan juga daerah Hulu Selangor dan di samping itu telah dapat mengutip kutipan melebihi RM120 juta setahun dan Selayang mempunyai lebih daripada 80 peratus kawasan yang merupakan kawasan perumahan,” katanya.

Selain itu beliau turut mengingatkan warga kerja MPS supaya sentiasa bersikap telus dalam menunaikan kewajipan mereka selari dengan dasar kerajaan negeri selalu tekankan iaitu ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran.

“Kedua saya telah mengingatkan warga kerja kerajaan negeri supaya bersikap telus dalam tanggungjawap dan di samping mempunyai sikap tidak mementingkan diri dan menghindarkan keadaan konflik dalam membuat apa-apa keputusan.

“Jika terdapat dalam keadaan konflik, cara yang sebaiknya ialah tidak terlibat dalam membuat keputusan dan kedua ialah tidak membuat pengumuman yang konflik. Jadi saya minta satu usul supaya kita dapat menegakkan supaya dapat mengamalkan intergriti dalam pentadbiran di negeri Selangor,” katanya.

Turut hadir pada majlis perhimpunan tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Cham Khim dan Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Azim. – TVSELANGOR

No comments

Powered by Blogger.