Jangan Berdebat Soal Istilah

SATU - Sukar diramal apa niat sebenar Karpal membangkitkan kembali isu ‘negara Islam’. Sukar juga diramal apa yang Karpal tidak setuju dengan ‘negara Islam’, istilahnya atau bendanya (ism atau musamma)?. Atau, kedua-duanya?

Karpal bukan politikus hingusan. Otaknya sarat dengan maklumat dan strategi sepak terajang politik. Dalam pelbagai situasi, Karpal tidak pernah menunjukkan minat kepada BN.

Karpal boleh duduk sebaris dengan TG Nik Abdul Aziz, Anwar dan TG Abdul Hadi. Kalau mereka bertikam pun, hanya media sahaja yang menjadi pengantaranya.

Bagi media pula, mana-mana kenyataan Karpal yang dilihat boleh menggugat keutuhan PR, itulah yang dieksploitasi. Isu ketidaksetujuan Karpal dengan ‘negara Islam’ adalah salah satu daripadanya.

DUA - Kalau Karpal tidak bersetuju dengan istilah ‘negara Islam’ sahaja, saya fikir itu tidak perlu dirisaukan sangat oleh PAS. Selama mana negara yang dibina itu memenuhi ciri sebuah negara Islam, maka jika negara itu tidak dipanggil ‘negara Islam’ pun, itu tidak perlu menjadi pertikaian.

Panggil sahaja negara itu negara kebajikan, negara keadilan, negara kebaikan, negara keamanan atau apa sahaja. Semua itu, kebajikan, keadilan, kebaikan dan keamanan adalah paksi-paksi Islam.

Tidak ada ertinya sebuah negara itu dinamakan negara Islam tetapi kebajikan rakyat tidak terbela, keamanan mereka terancam, kebaikan tidak tersebar atau keadilan tidak mendasari.

Benar, jika dinamakan negara Islam, itu lebih baik. Tetapi jika pertikaian nama itu menyebabkan usaha menegakkan sebuah yang berpaksikan nilai-nilai ungggul Islam tadi menemui kegagalan, maka itu suatu kesilapan besar.

Tumpukan kepada ‘musamma’ bukan ‘ism’.

TIGA - Sepanjang pengetahuan saya, Karpal tidak pernah membantah kebaikan setelah kebaikan itu nyata di hadapannya. Beberapa kebaikan yang dibuat oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP, belum terdengar Karpal membantahnya.

Di Pulau Pinang, pernahkah Karpal membantah kenaikan elaun guru KAFA? Elaun kepada ‘huffaz’ al-Quran, elaun kepada imam atau selainnya? Tetapi saya percaya, Karpal akan membantah jika Georgetown dinamakan bandaraya Islam seperti Kota Bharu.

Saya percaya juga, Karpal tidak akan membantah jika istititusi agama, hak-hak orang Islam, kepentingan umat Islam di Pulau Pinang ditambahbaik atau diberikan keupayaan tinggi. Dalam kehidupan bermasyarakat majmuk seperti kita, tidak boleh mana-mana kaum atau agama dibiarkan terpinggir kerana kesannya bukan kepada kaum atau penganut agama itu sahaja tetapi kepada semua.

Justeru saya fikir, yang dibantah Karpal bukan isinya, musammanya tetapi hanyalah istilahnya sahaja. Mudah-mudahan begitu.

http://sauhdibongkar.blogspot.com/2010/07/jangan-berdebat-soal-istilah.html

No comments

Powered by Blogger.