POSTING 21: KENYATAAN MEDIA PEJABAT SULTAN KELANTAN MENGENAI RAWATAN SUSULAN SULTAN KELANTAN

PEJABAT SULTAN KELANTAN

KENYATAAN MEDIA

Pejabat Sultan Kelantan mendapat maklum bahawa KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan akan dibawa untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, pada 14hb Julai 2010. Rawatan susulan itu tidak diuruskan oleh pejabat ini. Setakat ini pejabat ini tidak dititahkan untuk menguruskan rawatan tersebut.

Tujuan rawatan tersebut dibuat adalah untuk menukar tiub di perut Baginda Al-Sultan daripada tiub lama kepada yang baru di mana tiub tersebut digunakan untuk menyalurkan makanan.

Sebelum ini, Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan telah bertitah bahawa sebarang rawatan yang hendak dijalankan ke atas Baginda Al-Sultan di luar negara hendaklah mendapat ampun perkenan Baginda Pemangku Raja Kelantan selepas ianya dirujuk kepada pakar-pakar perubatan dalam negara sebagaimana yang digariskan dalam peraturan kerajaan.

Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan amat prihatin terhadap kesihatan Tuanku Al-Sultan dan tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya rawatan yang hendak dilaksanakan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, itu tidak terdapat dalam negara dan telah dirujuk dan disyorkan oleh pakar-pakar perubatan dalam negara dan dibincangkan di kalangan keluarga.

Terdapat juga sungutan rakyat untuk mengetahui kedudukan sebenar keadaan kesihatan Tuanku Al-Sultan. Ada juga kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak mendapat ampun perkenan Tuanku Al-Sultan ataupun Pemangku Raja Kelantan secara rasmi dan ini mengelirukan banyak pihak, terutama rakyat Kelantan yang berada di luar negeri. Cadangan untuk mendapatkan rawatan di luar negara tanpa mengikut prosedur yang digariskan menambahkan kekeliruan di kalangan rakyat dan ada pihak membuat andaian bahawa ianya dibuat untuk melindungi keadaan sebenar kesihatan Tuanku Al-Sultan.

Sekian. Terima kasih.


DATO’ HJ. ABDUL HALIM BIN HJ. HAMAD
Pengelola Istana D’Raja
Bertarikh: 09 Julai 2010

No comments

Powered by Blogger.