KDN panggil The Rocket berhubung surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR 20 Julai - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memanggil pihak penerbitan akhbar 'The Rocket' bagi memberi keterangan berhubung surat tunjuk sebab mengenai isu pembaharuan permit dan artikel yang disiarkan akhbar itu.

Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata, antara individu yang memberi keterangan termasuk Setiausaha DAP, Teresa Kok dan pengarang akhbar terbabit Tony Pua.

"Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam telah berjumpa dengan pihak penerbitan akhbar itu di pejabatnya pukul 7 malam tadi bagi memohon keterangan dan penjelasan berkaitan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh KDN pada 13 Julai lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu, pihak penerbitan akhbar terbabit telah dimaklumkan mengenai pelanggaran syarat-syarat yang dilakukan termasuk menerbitkan berita dalam versi Bahasa Cina dan Inggeris walaupun permit akhbar itu telah tamat tempoh.

"Pihak penerbitan juga lewat mengemukakan permohonan pembaharuan yang lengkap serta gagal mengemukakan lapan salinan penerbitan sebaik sahaja ia dicetak.

"Bagaimanapun pihak penerbitan The Rocket berjanji untuk memberi jawapan dan penjelasan mengenai ketidakpatuhan itu kepada kementerian dalam tempoh 48 jam," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.