UMNO Kinabatangan Bergolak?



KINABATANGAN 19 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Abdul Rahman meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan sebarang cubaan untuk melaga-lagakan beliau dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Saddi berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak baik kepada UMNO tetapi rakyat di kawasan itu.

‘‘Saya percaya ada orang tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air keruh dengan menyampaikan sesuatu yang tidak benar kepada Bung Moktar.

‘‘Nasihat saya hentikan tindakan tidak bertanggungjawab itu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian perlawanan bola sepak anjuran bersama Pergerakan Pemuda UMNO Kinabatangan dan Mukim Kampung Tronglit di Padang Sepimong, Sukau dekat sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim. Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda bahagian itu, Matmin Itin; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Batu Sapi, Firdaus Akbar Khan dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sukau, Sharin Abdul Rahman.

Saddi berkata, beliau membangkitkan perkara tersebut selepas namanya dikaitkan sebagai individu yang bertanggungjawab memburukkan Bung Moktar pada Mesyuarat Perwakilan itu baru-baru ini.

Menurutnya, beliau sendiri sudah menerangkan kepada Bung Moktar dan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan itu menerima penjelasannya.

‘‘Kami tidak ada apa-apa malah hubungan kami kembali pulih sebelum majlis itu berakhir," katanya.

Saddi berkata, dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut kerana pihak yang mendapat kesan dan merasa kerugian adalah rakyat kawasan itu.

Katanya, rakyat kawasan DUN Sukau masih memerlukan pembelaan daripada semua pemimpin Barisan Nasional yang telah dipilih mereka.UM

No comments

Powered by Blogger.