KEADILAN Sarawak Buat Laporan Ketiga SPRM Terhadap Taib

SHAH ALAM 8 Julai - KEADILAN Sarawak semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali ketiga berhubung dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan pengumpulan harta secara haram oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Aduan dibuat oleh Setiausaha Angkatan Muda Sarawak Zulhaida Suboh dan Setiausaha Ranting Piasau, Chong Kon Fat di pejabat SPRM di Wisma Persekutuan, Lopeng kepada Ketua Unit Siasatan Miri, Bartholomew Dangang David pada pukul 11.00 pagi

Menurut Zulhaida, aduan itu bagi menggesa SPRM menyiasat empayar perniagaan Abdul Taib dan keluarganya yang didakwa bernilai lebih RM3 bilion berdasarkan apa yang dilaporkan di blog sarawakreport.org.

“Kami membuat aduan berhubung isu salah guna kuasa oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memiliki kemewahan di luar negara dianggarkan melebihi ratusan juta ringgit seperti yang telah didedahkan dilaman web sarawakreport.org,” kata Zulhaidah ketika ditemui Sarawak Update selepas membuat aduan.

Laman web tersebut mendakwa Abdul Taib dan keluarganya mempunyai empayar perniagaan antarabangsa termasuk memiliki hotel mewah di Australia dan hartanah komersial di tapak utama di Kanada melalui cara yang disangsikan.

Blog yang dikendalikan oleh “rakyat prihatin’ itu turut mendakwa 85 peratus saham konglomerat, Cahaya Mata Sarawak (CMS) dimiliki oleh Abdul Taib dan keluarganya serta rakan-rakan karib mereka ketika syarikat berkaitan kerajaan itu diswastakan yang menimbulkan dakwaan salah guna kuasa.

“Kami sedar peluang untuk laporan itu disiasat amat tipis, kami merasakan aduan berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa itu tidak akan disiasat sampai bila-bila. Namun lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa,” kata Kon Fat.

No comments

Powered by Blogger.