Kebangkitan rakyat pendalaman di Sarawak


Oleh Pushparani Thilaganathan


KUCHING: Marah dengan ego pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN), satu rangkaian para petani yang baru ditubuhkan bersiap sedia untuk merebut undi dan sokongan daripada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud.

Kejayaan selama tiga tahun Projek Ekonomi Rakyat Sarawak (PERS) telah merangsang serangkaian para petani dengan beranimengisytiharkan akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Projek ini melibatkan penanaman "Jatropha Curcas" (pokok minyak) yang menyaksikan beribu-ribu rakyat Sarawak memperolehi pendapatan yang secukupnya.

"Kami telah bekerjasama dengan para penduduk di pendalaman sejak 2008. Kami telah membuktikan pendapatan yang mencukupi melalui program perkongsian tanaman," kata Mohamad Noh Bakeri, setiausaha jawatankuasa protem Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) kepada FMT.

Beliau berkata, "kami kini mempunyai rangkaian seramai 1 juta ahli. Ramai yang memperolehi pendapatan yang cukup, di antara RM400 dan RM500 sebulan.

"Pencapaian ini merupakan sesuatu yang BN tidak dapat lakukan…..malahan Pakatan Rakyat pun tidak dapat mencapainya," kata beliau.

Sambil membidas Taib, Mohamad Noh berkata, konsep "tanaman berkongsi" telah membantu mengeluarkan penduduk Bumiputera di pendalaman dari putaran kemiskinan, di mana Taib mendakwa mereka bergantung kepada BN.

Taib, yang nilai kekayaannya mencecah RM4 bilion memeranjatkan negara apabila beliau mengakui rakyat Bumiputera Sarawak terdiri daripada golongan miskin.

Beliau juga mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan apabila beliau berkata, "rakyat Bumiputera Sarawak tahu mereka miskin dan hidup dalam kesusahan dan dengan rendah diri mengakui bahawa mereka masih bergantung kepada kerajaan (BN) yang memerintah untuk memperbaiki nasib mereka.

Bagi menambah kepedihan ini, disusuli dengan kenyataan Menteri Pembangunan Tanah Negeri James Masing yang dengan penuh yakin mengisytiharkan bahawa para pengundi di pendalaman adalah "simpanan tetap BN dan tidak sekali-kali mengundi pembangkang."

Mengenai hal ini, Mohamad Noh menyindir dengan berkata, "sekarang ini bukan lagi simpanan tetap BN…..situasi telah berubah."

Kejayaan dan harapan

Menyusuri laman web projek baru-baru ini, FMT memetik komen seorang pembaca, Magdalene. Beliau menulis, "saya telah membuat sedikit kajian berhubung latar belakang PERS….. sukar untuk dipercayai mereka sebenarnya telah membantu orang-orang miskin di Sarawak sejak dua tahun lalu untuk memperbaiki taraf ekonomi mereka.

"Saudara saya sendiri menanam pokok Jatropha di Miri dan sekarang beliau memperolehi pendapatan paling kurang RM500 sebulan untuk dua ekar dalam tempuh kurang lapan bulan sahaja. Jika mereka meneruskan kerja yang murni ini, saya tidak hairan ia memberi harapan yang tinggi kepada rakyat di Sarawak.

Bergantung kepada harapan ini, Mohamad Noh berkata, "sejumlah wang yang tetap ini" adalah sesuatu yang tidak diperolehi lebih 30 tahun di bawah rejim BN.

Sarawak, seperti Sabah, berkongsi kekayaan sumber alam semula jadi tetapi mempunyai penduduk di antara yang termiskin di negara ini.

Berbeza dengan laporan-laporan terbaru yang tersebar di alam siber mendedahkan kekayaan berlipat ganda Taib, dengan menguasai empayar hartanah yang meluas di luar negara yang dibeli dengan menggunakan pendapatan dikatakan hanya RM20,000 sebulan.

Pendedahan ini, ditambah dengan rasa tidak puas hati mengenai Tanah Adat (NCR), penerokaan hutan belukar dan projek-projek mega, yang meminggirkan rakyat dan menyebabkan rakyat berpindah randah akibat penempatan semula di seluruh negeri telah menyuburkan kebangkitan penentangan bentuk baru.

Namun PERSB, bukanlah sebuah parti yang baru yang buat pertama kali mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya negeri di Sarawak. Bulan lalu, sebuah lagi kumpulan mengumumkan pembentukan Parti Keamanan yang dipimpin oleh ahli akar umbi, Julian Petrus Jout.

Noh tetap optimis

Walaupun belum didaftarkan dan PERSB mungkin tidak sempat didaftarkan tetapi Mohamad Noh tetap optimis dan berkata, "parti bersedia menghadapi segala kemungkinan."

"Ramai calon yang akan bertanding menggunakan label parti PERSB adalah terdiri daripada bekas ahli Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PPBS).

"Kami tahu prosesnya……kami tahu bagaimana jentera kerajaan bekerja. Dua kali sebelum ini, kami terpaksa membuat permohonan dua kali kerana mereka mengesan kesilapan yang sama…..tetapi kita tidak menjadikan perkara ini sebagai halangan.

"Jika mereka melengah-lengahkan atau menolak permohonan kami, orang kami akan bertanding sebagai calon bebas pada semua kawasan dan kami bersedia untuk tujuan ini," kata beliau.

Selain bertanding dalam semua 71 kerusi negeri, PERSB juga menjangka untuk meletak 31 calon untuk kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

Gambar 71 calon tersebut telah pun muncul dan boleh dilihat di www.pers.com.my website.

No comments

Powered by Blogger.