Ku Li: Dialog perpaduan Umno-PAS tak mungkin, tapi jangan ‘tutup pintu’

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah berkata, mustahil Umno-PAS boleh mengadakan perbincangan perpaduan yang menjadi fokus sejak pilihan raya umum ke-12, tetapi peluang ke arah kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam itu “tidak harus ditutup.”

Mengambil kira pengalaman-pengalaman politik masa lalu, Tengku Razaleigh berkata, bukan sesuatu yang baru ataupun ganjil bagi mana-mana parti politik untuk menerokai ruang perbincangan.

“Bukan sesuatu yang baru bagi parti-parti politik (negara ini) untuk bercakap mengenai platform bersama, kesejahteraan bagi rakyat,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider di kediamannya di sini Jumaat lalu.

“Kita tidak harus menutup pintu untuk perbincangan yang membawa kepada kerjasama. Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) telah membuka pintu kepada pembentukan Perikatan, dan Tun Abdul Razak (perdana menteri kedua) memperluaskan asas yang memasukkan parti-parti macam Gerakan,” katanya.

Tun Razak membuka laluan kepada pembentukan Barisan Nasional pada 1974, yang turut disertai PAS.

Perikatan hanya dianggotai Umno, MCA dan MIC dan selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Razak memperluaskan keanggotaan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Barisan Nasional kini mempunyai 13 komponen.

Bagaimanapun PAS, mengambil kira pengalaman lebih tiga dekad lalu dengan mendakwa ia telah ditendang keluar dari BN, menolak pelawaan Umno untuk mengadakan perbincangan kerjasama dan kerajaan perpaduan membabitkan kedua-dua parti ini.

PAS menganggap Umno hanya mahu mendampinginya semula selepas menyaksikan prestasi tidak baik dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun Tengku Razaleigh yang juga bekas naib presiden Umno menambah, beliau tidak berpendapat akan ada kemungkinan untuk perbincangan kerjasama Umno dan PAS.

“Saya tidak melihat kemungkinan itu (perbincangan kerjasama) tetapi ia (peluang itu) harus diterokai. Mereka harus bercakap. (Lagipun) PAS datang dari Umno juga,” kata Tengku Razaleigh yang pernah menjalin kerjasama politik dengan PAS bersama Semangat 46 pada pilihan raya umum 1990 dan 1995.

“Sesuatu mungkin akan muncul hasil daripadanya. Ia kemungkinan tidak disukai (sesetengah pihak), tetapi anda tidak harus menutup pintu anda,” kata Ketua Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang ini ketika ditemui Jumaat lalu.

Beliau ditanya mengenai cadangan bahawa Umno dan PAS harus membincangkan kemungkinan penyatuan kedua-dua parti.

Bagaimanapun PAS mengulangi pendirian tidak akan menjalin kerjasama politik dengan Umno-BN buat masa sekarang, sebaliknya akan terus berada dalam Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum ke-13.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan boleh mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kapasiti kerjasama negeri dan pusat.

Nik Aziz bersetuju bertemu dengan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno tentang kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

“Kita, PAS akan bersama Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum ke-13... kita sudah berjanji macam itu. Tapi kerjasama politik Umno, kita tidak akan terlibat,” kata beliau.

Pada Sabtu lalu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau itu.

“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun kenyataan itu ditolak pemimpin tertinggi PAS dengan menyifatkannya sebagai “satu fitnah dan pembohongan.”

Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

No comments

Powered by Blogger.