Mufti Perak: PM mahu rundingan perpaduan Umno, PAS disegerakan

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 21 Julai — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS demi untuk mempertahankan perpaduan Melayu dan Islam negara ini, dan mahu usaha itu disegerakan tanpa sebarang prasyarat.

Harussani berkata keperluan itu dibangkitkan selepas Najib mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam semalam bagi membincangkan soal perpaduan orang Melayu.

“Perdana Menteri setuju tapi jangan letak syarat, beliau setuju supaya disegerakan soal perbincangan di antara Umno dan PAS.

“Beliau juga bersetuju supaya perbincangan itu perlu dibuat demi untuk mempertahankan perpaduan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Tapi Perdana Menteri minta supaya PAS jangan berdolak-dalik dalam perkara ini, kejap kata mahu, kejap kata tidak mahu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Sebelum ini Najib mengatakan bahawa Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Umno berkata rundingan perpaduan itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.

“Kita sentiasa terbuka (untuk berbincang dengan PAS mengenai perpaduan) tetapi jangan ada prasyarat dan terus menghina Umno dalam ucapan-ucapan mereka.

“Kalau nak berbincang janganlah kutuk antara satu sama lain,” katanya.

Bagaimanapun Harussani berkata beliau kecewa dengan sikap pemimpin PAS yang menuduhnya melakukan satu pembohongan hanya kerana enggan mendedahkan nama pemimpin kedua-dua parti Melayu itu yang menemuinya.

“Saya kecewa dengan sikap PAS yang tuduh saya bohong kerana mereka orang Islam.

“Kalau PAS nak kata saya bohong terpulang, hanya Tuhan yang tahu kebenarannya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan enggan mendedahkan nama pemimpin tersebut adalah kerana mahu menjaga nama dan hubungan baik dengan pemimpin itu.

“Buat apa mesti nak dedahkan nama pemimpin yang jumpa saya nanti depa (mereka) berkelahi pula.

“Lagipun saya juga perlu menjaga rahsia orang, buat apa mesti nak dedahkan semua?

“Nanti kalau saya cerita boleh menimbulkan kemudaratan lain pula,” katanya.

Sabtu lalu, Harussani berkata beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau itu.

“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun kenyataan itu ditolak pemimpin tertinggi PAS dengan menyifatkannya sebagai “satu fitnah dan pembohongan.”

Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

Awal pagi ini Mahfuz mencabar Harussani agar mendedahkan nama pemimpin parti itu yang didakwa menemui beliau berhubung isu idea perundingan menyatukan Umno-PAS.

“Sekali lagi kami hendak mengatakan yang kami tidak menghantar dan tidak pernah memutuskan perkara ini... tidak, tidak ada orang, tiada keputusan parti.

“Semua pemimpin PAS sedar perkara (pendirian parti) ini, kami yakin mereka tidak akan bekerja bersendirian. Sebab itu saya minta Tan Sri Harussani mendedahkan nama mereka jika benar ada wakil PAS jumpa beliau,” kata Mahfuz.

No comments

Powered by Blogger.