Mansuhkan Permit Penerbitan Akhbar

Angkatan Muda KEADILAN Selangor mendesak kerajaan memansuhkan permit penerbitan akhbar yang tidak lagi relevan dalam era globalisasi dan duani tanpa sempadan.

Permit penerbitan akhbar adalah warisan penjajahan dan zaman gelap yang dilihat menghalang kebebasan media dan kebebasan maklumat di negara ini.

Dalam era globalisasi, keperluan permit untuk menerbitkan sesuatu akhbar adalah pendekatan yang ketinggalanzaman serta mengekang hak rakyat mendapatkan maklumat tatkala dunia media sudah berubah.

Dalam kenyataanya hari ini AMK Selangor juga membidas perlunya permit penerbitan akhbar kerana ianya bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Negara.

"Tidak ada keperluan untuk adanya permit penerbitan akhbar ini kerana ianya tidak akan menjejaskan keselamatan negara.

Malahan AMK Selangor yakin media lebih akan meriah dengan kepelbagaian akhbar-akhbar yang wujud dan ia terpulang kepada kuasa pengguna untuk membuat pilihan.

"Kita berkeyakinan kuasa pengguna pembaca akhbar sudah bijak untuk membuat pilihan kerana kecanggihan teknologi maklumat kini lebih pantas dan meluas," kata Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut.

AMK Selangor juga menggesa kerajaan tidak lagi menggunakan alasan tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar setiap tahun untuk dijadikan asas mengekang penerbitan sesuatu akhbar.

Kewujudan undang-undang sedia ada masa kini sudah cukup untuk mengenakan tindakan perundangan kepada media cetak sekiranya membawa berita berunsur fitnah dan mengancam keselamatan negara.

Justeru itu kata AMK Selangor lagi, permit penerbitan akhbar hanya akan mengekang perkembangan budaya fikir dan kritis rakyat tatkala peranan media cetak menjadi jurubicara rakyat dan pengimbang kepada pihak pemerintah.

AMK Selangor yakin jika permit penerbitan akhbar ini dimansuhkan,rakyat akan lebih berfikiran kritis dan terbuka tatkala kini jumlah akhbar di negara masih kurang di pasaran berbanding negara-negara maju lain.

Akhirnya, Malaysia akan lebih maju dan inovatif kerana mempunyai akhbar yang berkualiti yang membentuk budaya fikir rakyat ke arah kecemerlangan.

No comments

Powered by Blogger.